BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya meningkatkan kedudukannya di tangga 247 dalam Asia Universiti Ranking 2022 berbanding kedudukan berjulat 291-300 pada tahun sebelumnya.

Ini merupakan pencapaian terbaik UTHM dalam penarafan tahunan QS Asia Universiti Ranking sejak kali pertama tersenarai pada tahun 2018.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada warga UTHM atas segala usaha, sumbangan dan komitmen sehingga berjaya mencapai kedudukan ini.

Menurut beliau, kejayaan ini disumbangkan menerusi pelbagai inisiatif baharu yang berjaya menghasilkan penyelidikan berimpak berteraskan bidang tujah UTHM iaitu Teknologi Lestari dan Pengangkutan (Sustainable Technology and Transportation).

“UTHM turut menerapkan pendekatan berbeza dalam meningkatkan jaringan pengantarabangsaan seiring dengan keperluan norma baharu.

“Kedua-dua faktor ini secara langsung membantu meningkatkan keterlihatan jenama UTHM di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko, Ts. Dr. -Ing. Muhammad Akmal Johar berkata, sembilan daripada 11 indikator yang dinilai telah melebihi paras median dalam kalangan 687 universiti yang tersenarai di peringkat Asia.

Tambah beliau, nisbah penerbitan/fakulti adalah merupakan indikator tertinggi dalam penilaian kali ini.

“Ini membuktikan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan staf akademik UTHM semakin berkembang sekali gus mampu memberi manfaat kepada komuniti, industri dan alam.

“Kejayaan ini bertepatan dengan pernyataan misi UTHM iaitu menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma tauhid.

“Ini juga seiring dengan hala tuju yang dinyatakan dalam Pelan Strategik 2021-2025 UTHM sebagai sebuah Global Technopreneur University menjelang 2030,” katanya.

UTHM berharap pencapaian terbaharu ini akan menjadi pemangkin bagi peningkatan kecemerlangan UTHM pada tahun berikutnya.