Sering kali kita mendengar pelbagai ungkapan mengenai bahasa, antaranya adalah bahasa adalah jendela dunia. Tepat sekali ungkapannya. Apabila mempelajari bahasa asing. Kita tidak hanya mempelajari bahasa baharu, bahkan kita juga belajar mengenai budaya mereka juga. Salah satu bahasa asing yang terkenal di dunia adalah bahasa Jerman.
Apabila menyebut negara Jerman, sering kali kita mengaitkan negara ini sebagai salah satu negara maju di Eropah yang sangat terkenal dengan kemajuan teknologinya. Bahkan banyak manfaat jika kita mempelajari bahasa Jerman antaranya dapat menambah pengetahuan tentang negara-negara Eropah. Apabila kita mempelajari bahasa Jerman kita juga turut mempelajari sejarahnya dengan mempelajari bagaimana negara Jerman menjadi negara maju setelah menghadapi masa gelapnya.
Kemudahan biasiswa
Jerman adalah salah satu negara yang menyediakan banyak biasiswa untuk mendapatkan kuliah secara PERCUMA! Biasiswa tersebut dapat diperolehi dengan mudah asalkan kita memiliki kemampuan berbahasa Jerman dengan baik.
Mempermudah akses melancong ke Eropah
Apabila kita mempelajari bahasa Jerman, usaha ini akan memudahkan urusan kita ketika menjelajahi negara-negara di sekitar Jerman, menyambung pengajian atau bekerja di Eropah. Ini kerana bahasa Jerman tidak hanya digunakan di negara itu, malah beberapa negara di sekitarnya pun menggunakan bahasa Jerman seperti Austria, Swiss dan Belgia.
Tingkatkan keyakinan diri
Antara manfaat lainnya mempelajari bahasa Jerman, kita dapat meningkatkan keyakinan diri dalam berkomunikasi dengan penutur asal Jerman. Seterusnya kita akan lebih mudah memahami sastera, seni dan falsafah. Ini kerana banyak sasterawan, seniman hingga falsafah terkenal yang menggunakan bahasa Jerman untuk menterjemahkan pemikirannya. Karyawan terkenal seperti Goethe, Kafka, Freud hingga Mozart, karya-karya mereka akan terasa semakin nikmat jika dibaca atau didengarkan dalam bahasa aslinya.
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai bahasa Jerman, kita lebih mudah untuk memperoleh pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam bahasa Jerman dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan penutur asli.
Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.
Nur Zakiah Amir Hamzah
Guru Bahasa Jerman
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)