BATU PAHAT – Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Mr. Tako HQ, entiti bisnes yang bernaung di bawah Fitora Holding Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan satu projek inovasi idea bagi mereka bentuk kanopi atau stesen perniagaan jalanan.
Menurut Pensyarah, Khairul Asyraf Mohd Rodzi perniagaan jalanan ini telah lama wujud di Malaysia dan menjadi sebahagian daripada budaya dan norma masyarakat tempatan namun mekanisma dan kaedah pengoperasian tidak pernah berubah.
“Payung kanopi yang didirikan sering kali ranap ketika hari hujan ataupun angin kencang malah kanopi yang digunakan juga tidak memberikan keselesaan yang secukupnya kepada para peniaga jalanan,” katanya.
Justeru itu, beliau dan rakan pensyarahnya, Profesor Madya Dr. Nangkula Utaberta bersama 22 orang pelajar tahun pertama jurusan Senibina UTHM di bawah kursus BFR 11702 Hubungan/Menyantuni Komuniti telah terpanggil untuk melaksanakan projek inovasi ini.
Mereka turut dibantu oleh wakil daripada Mr Tako HQ, iaitu Fikri Mohd Roni, Pengarah Urusan dan juga Nashrul Razali yang merupakan Pengurus Pembangunan Perniagaan.
“Mr Tako HQ telah dipilih untuk kerjasama ini kerana mereka mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam industri perniagaan, khususnya dalam penghasilan makanan jalanan Jepun, iaitu, Takoyaki.
“Pendekatan mereka yang menggunakan konsep perniagaan jalanan dilihat sangat bertepatan dengan idea dan latar belakang projek ini,” tambah beliau.
Perkongsian yang dijalankan oleh wakil Mr Tako HQ melalui pertemuan Zoom yang dijalankan pada 6 September lalu telah membuka mata para pelajar tentang bagaimana bisnes ini jalankan serta cabaran dan rintangan yang dihadapi peniaga jalanan sepanjang bisnes mereka beroperasi.
Projek ini juga menetapkan beberapa kriteria reka bentuk yang perlu dipatuhi oleh para pelajar. Selain daripada unsur kemudahalihan (portability) dan perpasangan (assemble – dismantle) yang merupakan konsep asas bagi stesen peniaga jalanan ini, aspek ketahanan, ruang dan keselasaan perlu juga dipertimbangkan oleh pelajar bagi menghasilkan inovasi yang baik.
Selain itu, setiap perniagaan memerlukan reka bentuk serta susun atur yang berbeza. Aspek ini dititikberatkan memandangkan perniagaan jalanan akan melibatkan barang komoditi yang berbeza antaranya seperti makanan, minuman, pakaian dan beg.
Justeru, aspek fleksibiliti serta mampu-ubah (adaptability) adalah nilai tambah yang boleh diterapkan dalam reka bentuk stesen peniaga jalanan ini.
“Selain memantapkan daya kreativiti dan inovasi para pelajar, projek ini membantu para pelajar dalam memahami struktur asas yang terdapat dalam sesebuah seni bina, yang merupakan aspek yang sangat penting bagi para pelajar tahun pertama sebelum melangkah ke tahun kedua.
“Malah pertimbangan terhadap ergonomik serta penggunaan ruang yang efisyen juga diterapkan dalam projek ini bagi membantu para pelajar memahami konsep dan aspek ruang dengan lebih teliti,” jelas beliau.
Secara umumnya, kursus Hubungan/Menyantuni Komuniti ini adalah lebih baik dilaksanakan di lapangan dan secara berhadapan. Namun, kekangan yang dihadapi dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak menghalang nilai santun komuniti ini dijalankan.
Tambah beliau, projek ini juga memberikan ruang interaksi yang signifikan para pelajar dengan rakan industri profesional bagi membolehkan para pelajar memahami realiti industri selain mendedahkan para pelajar dengan pengoperasian bisnes terutamanya perniagaan jalanan.
Malah, projek ini juga memberikan ruang dan peluang kepada para pelajar untuk berbakti kepada komuniti tempatan melalui sumbangan idea yang kreatif, serta inovasi yang dicadangkan ini tidak mustahil mampu untuk diketengahkan dan direalisasikan secara meluas pada masa akan datang.