BATU PAHAT – Intan Nurhidayah Lim, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sulaiman, yang memperolehi keputusan cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) baru-baru ini memilih Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana muda.
Anak Orang Asli suku kaum Jakun yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan STPM lalu berkata, dia memilih UTHM kerana kursus yang diminatinya ada ditawarkan di universiti ini, tambahan pula lokasinya terletak berhampiran dengan kediaman keluarga.
“Sebelum ini saya sering mengikuti hal-hal yang berkaitan dengan UTHM antaranya tentang kursus-kursus yang ditawarkan serta aktiviti kesukarelawan dan khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh warga kampus.
“Lama-lama saya semakin berminat dan terus memasang impian untuk menjadi salah seorang pelajar di universiti teknikal ini,” kata anak bongsu daripada tujuh adik beradik ini.
Intan Nurhidayah kini tinggal bersama ayahnya yang juga pesara Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Kampung Kangkar Senangar, Batu Pahat setelah kehilangan ibunya akibat kanser pada tahun 2014.
“Saya berharap dapat menjadi pelajar UTHM yang cemerlang dalam banyak aspek sekali gus dapat menjadi contoh teladan kepada anak-anak masyarakat orang asli untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Untuk rekod, Intan Nurhidayah bersama seorang lagi pelajar UTHM, Nurul Humaira Aina Setia Jaya dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan antara 21 pelajar yang telah terpilih menerima bantuan pendidikan yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika berlangsungnya program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin pada 2 Oktober lalu di sekitar daerah Batu Pahat.
Dua pelajar terbabit menerima surat tawaran kemasukan sesi 2021/2022, wang pendahuluan pinjaman (WPP) dari PTPTN, akaun SSPN dan biasiswa yang meliputi elaun wang saku, yuran pengajian, yuran penginapan dan tambang penerbangan.