BATU PAHAT – MASUM Virtual Martial Arts Tournament 2021 yang telah berlangsung pada 10 hingga 17 September 2021 telah memberi peluang kepada tujuh penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk turut terlibat sebagai sukarelawan acara silat dalam memastikan objektif kejohanan tercapai.
Program anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dengan kerjasama UTHM sebagai Pusat Sukan Tumpuan Silat Kementerian Pengajian Tinggi ini merupakan penganjuran yang julung kali diadakan berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara kita.
“Ianya satu pengiktirafan daripada MASUM dan pihak kami berterima kasih kerana telah memberi kepercayaan kepada kami, penuntut UTHM untuk menjadi sebahagian dari kejohanan yang julung kali diadakan secara maya,” kata Muhammad Azrin Shafiq Azhan, salah seorang sukarelawan UTHM.
Menurut Ketua Unit Kecemerlangan Pelajar, Pusat Sukan Universiti, Mohd Hazrin Abd Rahman kemahiran Insaniah yang diterapkan melalui penglibatan mahasiswa UTHM ini merupakan elemen penting yang wajib dikuasai oleh mereka.
“Ini bagi membolehkan mereka menjadi mahasiswa yang serba boleh, berfikiran dengan kritis dan inovatif dan mempunyai kecemerlangan akhlak dalam kehidupan realiti sebenar setelah melangkah keluar dari alam kampus,” katanya.
Tambah beliau, intipati suntikan utama pembangunan modal adalah kemahiran insaniah, yang mana pembangunan aspek modal insan sangat penting bagi menjadikan negara berdaya saing.
Rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran akan berpotensi memiliki modal insan yang besar untuk dirinya sendiri, masyarakat dan negara.
Kemahiran insaniah adalah suatu usaha ke arah melahirkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, beretika, terlatih dan mempunyai pendidikan.
Situasi pandemik yang masih membelenggu negara bukanlah penghalang bagi melaksanakan kejohanan MASUM pada tahun 2021.
Program ini melibatkan penyertaan peringkat universiti awam seluruh Malaysia yang mana setiap universiti dikehendaki menghantar kontinjen masing-masing bagi merebut kejuaraan kejohanan tersebut.
Pada penganjuran kali ini, terdapat kelainan daripada penganjuran sebelumnya kerana ianya dianjurkan secara maya dan menjadi penyumbang pembangunan sukan negara.
Selain itu, kejohanan ini juga bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa agar kekal aktif dan meningkatkan penglibatan dalam aktiviti kesukanan walau berada dalam situasi norma baharu ini.
Bagi acara silat, terdapat beberapa kategori telah dipertandingkan dalam kejohanan tersebut iaitu Acara Silat Seni Tunggal Putra, Acara Silat Seni Tunggal Putri, Acara Silat Seni Solo Kreatif Putra dan Acara Silat Seni Solo Kreatif Putri.
Para kontinjen dari semua IPT telah diminta untuk menghantar video persembahan masing-masing berdasarkan kategori yang disertai yang mana video tersebut dinilai oleh barisan wasit juri jemputan.
Semua proses pertandingan dijalankan secara dalam talian dan mematuhi S.O.P pencegahan covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan.
Sukarelawan yang terlibat:
- Muhammad Azrin Shafiq Azhan (Ketua Sukarelawan)
- Ahmad Haikal Mohd Fauzi (Sukarelawan Siaran)
- Saudari Nur Amalina Arshad (Sukarelawan Siaran)
- Mohamad Afiq Izzuddin Mohd Sulaiman (Sukarelawan Multimedia)
- Wan Muhd Waiz Zaqwan Wan Zaidi (Sukarelawan Multimedia)
- Amirah Eitqan Ezaiyuddin (Sukarelawan Data)
- Yusra Solehah Suwandi (Sukarelawan Pengacaraan)