Pembuatan atau dalam Bahasa Inggeris disebut manufacturing, dalam pengertian mudah ialah membuat barang atau benda. Membuat barang untuk keperluan dan kegunaan hidup telah menjadi satu aktiviti penting dalam tamadun manusia.
Aktiviti pembuatan telah mengalami fasa-fasa perubahan dan perkembangan dari satu tahap ke satu tahap yang lebih maju dalam sejarah tamadun manusia. Fasa terkini pembuatan ialah Industri 4.0. Bermula dari skala mikro dibuat dengan tangan untuk kegunaan sendiri sehingga berskala mega dibuat di kilang-kilang untuk tujuan ekonomi dan perdagangan.
Jika kita meneliti sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi negara kita adalah sekitar 20 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Manakala sumbangan sektor perkhidmatan pula ialah sekitar 60 peratus. Dari sudut perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, yang merupakah tunggak utama ekonomi negara, komposisinya terdiri 85 peratus PKS adalah sektor perkhidmatan dan hanya 5 peratus adalah dari sektor pembuatan.
Dari petunjuk KDNK dan bilangan PKS di atas, sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi negara masih berada di tahap yang perlu ditambah baik. Sebagai perbandingan, data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan negara China merupakan kuasa besar pembuatan dunia; yang mana sektor pembuatan menyumbang hampir 30 peratus dari KDNK negara itu. Justeru itu, sumbangan sektor pembuatan di negara kita perlu dipertingkatkan lagi ekonomi negara ini lebih stabil dan kukuh. Beberapa hujah berikut perlu difahami kenapa sektor pembuatan itu sangat penting kepada sesebuah ekonomi.
*10 teratas negara pembuatan dunia
Pertama, telah menjadi satu pencapaian strategik kepada negara-negara kaya sejak beberapa abad yang lalu dengan mewujudkan sektor pembuatan yang berkualiti tinggi untuk mencapai kemakmuran dan kekuatan negara. Bermula dengan kebangkitan England di abad ke-19, sehingga ke kebangkitan Amerika Syarikat, German, Jepun dan Rusia di abad ke-20, sehingga ke negara-negara perindustrian baru seperti Korea, Taiwan dan kini muncul China, industri pembuatan merupakan kunci kepada kejayaan ekonomi mereka.
Kuasa besar ekonomi dunia ialah negara-negara yang menguasai sebahagian besar dunia pengeluaran teknologi pembuatan. Maksudnya, tidak cukup hanya memiliki kilang dan menghasilkan lebih banyak barang, sesebuah ekonomi juga mesti tahu bagaimana membuat mesin dan jentera untuk pengeluaran barang. Oleh itu, kunci kepada kuasa ekonomi adalah dengan menguasai pembuatan mesin-mesin, jentera-jentera, dan peralatan-peralatan dalam pengeluaran. China, Amerika Syarikat, German, Jepun, dan Itali, adalah contoh negara yang menguasai industri pengeluaran mesin kilang dunia.
Kedua, barangan pembuatan diperlukan untuk perdagangan. Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia(WTO), 80 peratus perdagangan dunia adalah berbentuk barang pembuatan, dan hanya 20 peratus dalam bentuk perkhidmatan. Jika sesebuah negara hanya mempunyai industri perkhidmatan, negara tersebut akan menjadi miskin kerana tidak mempunyai barangan untuk diperdagangkan dan nilai matawangnya akan menjadi sangat lemah. Oleh itu akan berlaku defisit perdagangan kerana negara tersebut mempunyai nilai import yang tinggi berbanding nilai export.
Ketiga, barang pembuatan sangat penting untuk industri perkhidmatan. Walaupun industri perkhidmatan menyumbang hampir dua pertiga kepada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) sebahagian besar negara di dunia ini, namun industri perkhidmatan ini bergantung pada barang pembuatan untuk operasi dan kemajuan teknologi. Sebagai contoh, industri pemborongan dan peruncitan, yang merangkumi sekitar 16 peratus daripada KDNK negara kita, menjalankan perniagaan menjual barang-barang perkilangan. Sama juga contohnya, dengan industri penerbangan, industri telekomunikasi, dan industri hartanah yang mana masing-masing bergantung pada kapal terbang, telefon dan peralatan siaran, dan bangunan untuk pengoperasian dan kemajuan perniagaan mereka.
Keempat, setiap satu pekerjaan pembuatan dapat mewujudkan tiga pekerjaan sektor lain. Kajian oleh Institut Dasar Ekonomi Amerika Syarikat telah mendapati bahawa setiap pekerjaan pembuatan menyokong hampir tiga pekerjaan lain dalam sesebuah ekonomi, melalui satu konsep yang disebut sebagai kesan pengganda. Kesan pengganda merupakan satu istilah ekonomi yang merujuk kepada bagaimana peningkatan dalam satu aktiviti ekonomi dapat menyebabkan peningkatan kepada banyak aktiviti ekonomi lain yang berkaitan.
Kelima, sektor pembuatan menambah nilai kepada sumber semulajadi sesebuah ekonomi. Ketika pra-kemerdekaan, ekonomi negara kita bergantung kepada export timah dan getah dalam bentuk mentah atau dipanggil komoditi. Harga komoditi sememang diketahui sangat tidak stabil, terutamanya jika dibandingkan dengan barang perkilangan. Harga timah dan getah jatuh menyebabkan ekonomi negara kita terjejas. Bila negara bertukar dari sebuah pengeluar komoditi kepada perindustrian(pembuatan), komoditi diproses, dijadikan barangan siap dan dieksport. Kini negara kita boleh berbangga menjadi pengeksport terbesar sarung tangan getah untuk perubatan dan peralatan perubatan yang diperbuat dari getah. Terima kasih kepada industri pembuatan yang mampu menambahnilai komoditi mentah kepada barangan siap.
Keenam, pertumbuhan ekonomi bergantung kepada sektor pembuatan. Walaupun tidak mempunyai sumber semulajadi yang banyak, negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, Itali mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik, berpendapatan tinggi dan mempunyai taraf hidup rakyat yang tinggi. Negara-negara ini mempunyai asas industri pembuatan yang kukuh. Industri pembuatan menghasilkan pekerjaan kelas menengah yang menjadi tunjang ekonomi kelas menengah. Sektor pembuatan yang berdaya maju membawa kepada lebih banyak penyelidikan dan pembangunan, inovasi, produktiviti, dan barangan eksport. Justeru itu, industri pembuatan membantu meningkatkan taraf hidup dan menghasilkan lebih aktiviti ekonomi berbanding sektor lain.
Sektor pembuatan pula sangat penting untuk kemakmuran dan kekuatan sesebuah ekonomi. Perdagangan antarabangsa adalah 80 peratus berasaskan barangan pembuatan. Negara yang tidak mempunyai banyak hasil bumi mampu menjadi kaya dengan sektor pembuatan. Oleh itu, adalah satu langkah yang strategik jika negara kita memperkasa ekonomi dengan meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK dan meningkat bilangan usahawan dalam sektor pembuatan melalui PKS.
Siti Anisah Atan @ Yaakub
Pengajar Kanan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)