BATU PAHAT, 15 Julai 2021 –  Pusat Pemberian Vaksin Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (PPV DSI UTHM) memulakan operasi memberi vaksin kepada masyarakat Batu Pahat dan sekitarnya bermula hari ini sehingga 15 November akan datang.

Menurut Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, PPV DSI UTHM yang agak luas itu mampu memberikan vaksin sehingga 3,000 penerima setiap hari.

Katanya, PPV yang dibuka setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam itu melibatkan kira-kira 250 sukarelawan serta mendapat kerjasama daripada petugas kesihatan Health Care Organizations.

“Pembukaan PPV di UTHM dijangka mampu membantu kerajaan mencapai sasaran 80 peratus rakyat menerima vaksin menjelang hujung tahun.

“UTHM sentiasa bersedia untuk melaksanakan program khidmat komuniti seperti ini bagi membantu negara mengawal penularan sekali gus melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19,” katanya

Seorang warga emas Basri Sayuti, 99 tahun yang mendapat suntikan di PPV ini melahirkan rasa puas hati dengan fasiliti yang disediakan kepada golongan berkenaan.

Warga emas tersebut berkata keadaan di PPV ini sangat selesa serta para petugas sukarelawan cukup mesra melayani setiap penerima vaksin yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warga emas.

 “Kesihatan saya yang tidak begitu baik membuatkan saya agak berdebar untuk mendapatkan vaksin, namun setelah mendengar penerangan daripada para petugas, saya akhirnya dapat menyelesaikan dos pertama hari ini,” katanya yang tinggal di Tanjung Laboh, Senggarang.

Sementara itu, seorang lagi penerima vaksin yang juga warga emas Zaiton Yusof, 62, cukup gembira apabila menerima vaksin di tempat yang begitu selesa, walaupun dia tinggal di Taman Rakyat Labis, Segamat yang jaraknya sekitar 80 kilometer.

“Walaupun jauh untuk mendapatkan vaksin ini, namun ianya agak berbaloi dengan keadaan yang selesa, mesra warga emas dan OKU dan yang paling penting layanan para petugas dan sukarelawan yang agak baik,” katanya.

Hadir sama menemui penerima vaksin, Pegawai Daerah Batu Pahat, Haji Ismail Abu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Norashidah Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra Batu Pahat, Doktor Kevin Khoo.