BATU PAHAT, 14 Jun 2021 – Sistem pengawalan khas permesinan moden kawalan berangka komputer (CNC) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mendapat pengiktirafan oleh Machinery Technology Centre, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad) melalui laporan badan terbabit yang diterbitkan pada 9 Jun lalu.
Menurut laporan tersebut, hasil perbincangan, penemuan dan demonstrasi daripada pihak UTHM menunjukkan projek ini mampu menggalas dan melaksanakan 7 dari 11 elemen di dalam Industri 4.0.
Ini menjadikan UTHM, institut pengajian tinggi pertama mendapat pengiktirafan SIRIM berkaitan kesediaan mengunapakai elemen di dalam Industri 4.0 khasnya mesin terpakai yang ditambahbaik dengan teknologi terkini.
Ketua Projek, Profesor Dr. Yusri Yusof berkata kunjungan pihak SIRIM sejak tahun lalu di Makmal Pembuatan Digital UTHM (UDML) telah meyakinkan lagi badan tersebut mengenai keberkesanan dan kemampanan projek terbabit.
Menurut beliau sistem pengawalan yang diberikan nama UTHM Open CNC Controller (UOCC) itu bertujuan memberi ‘nafas baharu’ kepada mesin CNC yang lama dan konvensional.
“UOCC dipasang bagi menambah baik fungsi mesin CNC lama agar mampu mengadaptasi elemen IR 4.0 seperti Augmented Reality, Real-time monitoring dan Cloud Computing yang kini menjadi suatu keperluan di industri,” katanya.
Tambahnya lagi, kos bagi menaik taraf mesin CNC menggunakan UOCC adalah jauh lebih rendah berbanding pembelian mesin yang baharu, malah solusi ini dilihat lebih lestari dan efisyen.
Projek UOCC adalah hasil dari gabungan pelbagai institusi akademik dan badan industri yang memberi fokus bagi memberi nilai tambah terhadap mesin CNC yang dilihat sudah ketinggalan zaman agar tampil lebih kompetitif dan efektif dari segi kos.
“Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta institusi akademik tidak perlu lagi menghabiskan ratusan ribu ringgit hanya untuk menaik taraf mesin CNC lama di samping mampu mengelakkan kos pelupusan yang tinggi,” katanya.
UOCC adalah merupakan projek inisiatif yang dibiayai geran Sciencefund oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berserta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui geran Prototype Research Grant Scheme (PRGS) yang telah mendapat pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara.
UOCC juga telah dipaten dan didaftar hak cipta bagi memastikan matlamat UTHM untuk pengkomersialan sistem ini berjalan lancar.
Selari dengan program Digital Government Competency and Capability Readiness (DGCCR) yang telah dilancarkan, projek ini adalah bagi menerokai alam digital dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan agar lebih efisyen.
“Kejayaan ini mampu membuka mata masyarakat, UTHM boleh memainkan peranan sebagai penggerak dan pemacu Transformasi Pembudayaan Digital merentasi pelbagai bidang.
“Secara tidak langsung kejayaan ini membuktikan penyelidik universiti mampu menekorai kajian baharu setanding dengan penyelidik antarabangsa,” katanya.