Kebahagiaan adalah sesuatu yang sering didambakan setiap manusia. Lumrah seorang manusia sentiasa menginginkan sesuatu yang baik dan bahagia dalam kehidupannya. Kebahagiaan adalah pilihan kita sendiri, kita yang mencorakkan lukisan kebahagiaan dalam hidup kita bukan dengan membanding kebahagiaan orang lain yang Allah kurniakan. Kita sendiri yang perlu menyiapkan diri memilih cara membahagiakan diri kita dan keluarga berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Kerana itu, kadang kita melihat seseorang yang hanya hidup dengan sederhana atau seadanya, jauh lebih bahagia dan gembira dalam kehidupan mereka berbanding mereka yang mempunyai kemewahan. Kemewahan bukanlah kunci kebahagiaan yang sebenar, namun kehidupan yang sentiasa disertakan dengan syukur adalah asas dalam mencapai kebahagiaan. Imam al-Ghazali berkata: Bahagia adalah ketika di mana manusia berada dalam satu puncak ketaqwaan. Ia merupakan kenikmatan daripada Allah SWT. (Ihya’ Ulum al-Din, 3/8).
Kebahagiaan akhirat kebahagiaan utama
Di dalam al-Quran Allah menyatakan kebahagiaan di akhirat kelak jauh lebih lebih baik dari apa yang ada di dunia.
“Dan (Kami buatkan pula) perhiasan-perhiasan daripada emas. Dan semuanya itu tidak lain hanyalah kesenangan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat di sisi Tuhanmu disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.“ (Az Zukruf : 35)
Dari sini kita melihat kebahagiaan di dunia bukanlah kebahagiaan yang paling utama. Dunia hanyalah perantara untuk manusia menunaikan ibadah secara maksimum seterusnya mencari kebahagiaan yang berkekalan di akhirat kelak.
Kebahagiaan akhirat kebahagian berganda
Kita sebagai hamba Allah di atas dunia ini wajib menyiapkan diri mencari kebahagian yang berlipat kali ganda di akhirat kelak. Kebahagiaan di dunia bukanlah kebahagian yang sebenar walaupun kita merasakan ianya sudah cukup membahagiakan kita dan keluarga. Allah menjelaskan dalam al-Quran kebahagiaan di akhirat jauh memberi kepuasan berlipat kali ganda berbanding kebahagiaan yang dikecapi di dunia ini sebagaimana firmanNya
“Barang siapa berkehendakkan keuntungan di akhirat, akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya dan barang siapa yang berkehendakkan keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya keuntungan dunia tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat. “ (Asy-Syura : 20)
Melalui ayat ini,kita dapat mengetahui prinsip dasar Islam adalah berbuat dan bekerja untuk kehidupan dunia dan akhirat. seterusnya, orang yang mendahulukan kepentingan akhirat lebih utama daripada orang yang mendahulukan kepentingan dunia. Rugilah jika kita hanya mengejar kebahagiaan dunia tetapi kebahagian di akhirat kelak lebih menjanjikan keuntungan yang lebih lumayan.
Kebahagiaan dunia kebahagian sementara
Kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Akhirat jua berkekalan selamanya. Kebahagian kita di dunia ini bersama keluarga, rakan-rakan hanyalah bersifat sementara. Seperti mana firman Allah SWT:
Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Al Ankabut : 64)
Walaupun bersifat sementara, namun ianya perlu kita sentiasa syukuri, kerana kebahagian sedang kita nikmati ini juga merupakan kurniaan yang tidak ternilai dari Allah. Kebahagiaan juga membuatkan diri kita lebih dekat dengan Allah.
Menurut Prof. Muhaya yang dipetik daripada buku beliau yang bertajuk Bahagia dan Membahagiakan, “manusia perlu fokus dalam mensyukuri semua yang Allah kurniakan. Seseorang yang yakin kepada Allah, Allah akan membantunya, kehidupan akan jadi lebih bahagia”
Bahagia dunia bahagia akhirat
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al Qasas :77)
Ayat ini menjelaskan kepada kita Allah SWT mengurniakan kita bahagia di dunia dengan harta, ilmu dan keluarga dan kesihatan yang baik, supaya kita menggunakannya untuk akhirat. Seterusnya, kita sebagai manusia mestilah menyatukan kepentingan hidup di dunia dan akhirat. Gunakan sebaik mungkin kebahagiaan yang dikurniakan Allah kepada kita untuk mengejar kebahagiaan di akhirat kelak. Contohnya, jika kita punya harta yang banyak belanjakannya ke jalan Allah, jika kita punyai kesihatan yang baik, kita kejar amal ibadah yang kita boleh kerjakan sebanyak yang boleh. Semua usaha ini mudah-mudahan diiringi dengan kebaikan berlipat ganda.
Marilah kita mencari kebahagiaan dengan empat perkara berikut..
Bersyukur
Kunci kebahagian yang utama adalah dengan kesyukuran. Bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepada kita. Berhenti mempersoalkan nikmat yang kita mahukan dan belum dikurniakan kepada kita. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Dengan rasa syukur, kita akan lebih bahagia dan merasa sentiasa cukup dengan apa yang kita ada. Bersyukur juga mendekatkan diri kita kepada Allah. Jika kita merasa serba tiada atau kekurangan di dunia ini, ingatlah, kita sentiasa ada Allah bersama kita. Jangan pernah berhenti mengingatiNya, berzikir dan memohon doa padaNya in shaa Allah hati kita akan sentiasa tenang.
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ingatlah dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d ayat 28)
Berhenti membanding rezeki.
Setiap manusia punyai rezeki yang Allah tetapkan pada mereka. Jika kita ingin mencari kebahagiaan,kita perlu berhenti membanding rezeki yang kita terima. fokuslah mencari dan menikmati rezeki yang ada pada kita. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Kadang terlalu melihat dan membanding kebahagiaan orang lain membuatkan kita tidak sedar dengan kebahagiaan dan nikmat-nikmat yang Allah telah sediakan untuk kita.
Jangan bersedih
Berasa tidak bahagia membuatkan diri rasa bersedih. ‘la tahzan’ Allah sentiasa bersama kita. Perasaan sedih juga membawa kepada rasa tertekan dalam diri. Seterusnya, apabila sedih manusia mula merasakan kehidupannya tiada makna atau erti lagi dan membawa kepada pemikiran negatif. Sentiasa merasa diri tidak cukup bahagia kerana tidak memiliki apa yang dimahukan punca utama kita berasa tidak cukup bahagia dan membahagiakan. Bergembiralah dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita. Dengan cara itu kehidupan kita yang sedia ada akan lebih bahagia dengan cara kita sendiri.
Urus emosi, berbahagialah
Kita dikurniakan Allah dengan akal fikiran. Urus emosi kita sebaiknya dengan akal fikiran yang Allah kurniakan. Elakkan tekanan dengan melakukan perkara yang baik dan yang kita sukai seperti mengerjakan ibadah, bertadabbur al-Quran, beriadah, memasak ataupun meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung membuatkan kita lebih menghargai dan bersyukur dengan kurniaan Allah kepada kita. Jangan bersedih jika kita belum dikurniakan pasangan, kita mungkin sedang mempunyai kawan-kawan dan keluarga yang selalu menemani kita ketika susah dan senang. selain itu, jika kita belum dikurniakan zuriat jangan kita kecewa mungkin Allah sedang kurniakan kepada kita rezeki mempunyai pasangan atau keluarga mertua yang baik hati dan menggembirakan kita. Sesungguhnya rezeki Allah Maha luas dan dating dalam pelbagai bentuk.
Jadilah insan yang membahagiakan
Jika kita inginkan kebahagiaan, kita mesti mula dengan membahagiakan. Apa maksud membahagiakan? Membahagiakan adalah di mana kita cuba sebaiknya memberi kebahagiaan kepada orang lain. In shaa Allah kita juga akan turut rasa bahagia. Banyak yang kita boleh lakukan untuk membahagiakan keluarga contohnya dengan meluangkan masa bersama mereka, beri perhatian terhadap apa yang anak-anak atau ibu bapa cuba luahkan bukan hanya mendengar tanpa memberi perhatian. Selain itu, kita juga dapat bantu memberi kebahagiaan kepada semua orang seperti membantu insan-insan yang memerlukan. Ianya juga merupakan salah satu terapi kebahagiaan. Yang paling penting, jika kita merasa kita sudah cukup memiliki kebahagiaan di dunia ini, kita cuba memahami kepayahan atau keperitan insan lain dengan membantu mereka berikan semangat dan bantuan baik daripada segi emosi dan fizikal. Seperti contoh, kadang kita ada terlihat atau terbaca individu A menulis di laman sosialnya berkenaan keperitan hidup beliau. Mungkin dengan cara itu beliau dapat mengurangkan rasa tekanan yang sedang dihadapinya. Namun ada pula yang memberi pandangan yang tidak kena dengan situasi, dengan menceritakan hidup B yang sentiasa penuh dengan keindahan pada status yang dimuat naik oleh A. Bukankah penulisan seperti itu lebih baik jika diganti dengan kata-kata semangat untuk beliau atau lebih baik jika tidak menurunkan apa-apa coretan malah diganti dengan mendoakan kebahagiaan hidup insan A. Jadilah insan yang membahagiakan bukan yang hanya memberi bayangan kebahagiaan.
Kemaafan ubat paling mujarab
Resepi penawar untuk penyakit hati adalah dengan kemaafan. Jika kita inginkan kebahagiaan dalam kehidupan, kita mestilah sentiasa memaafkan. Ini kerana, dengan memaafkan orang lain, ianya dapat memberi manfaat dalam hidup kita. Hidup akan lebih tenang dengan memaafkan orang lain kerana maaf akan hadir dengan keikhlasan dan tulus dari hati yang bahagia. Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sifat pemaaf.
“Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya ALLAH Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Nisa’, ayat 149)
Jadi, siapalah kita selemah-lemah manusia untuk tidak memaafkan. Jadikan rutin harian kehidupan kita sebelum tidur kita mohon keampunan dari Allah SWT. Seterusnya kita memaafkan semua orang dengan ikhlas. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun jika kita memohon keampunan dariNya.
Nurulisyazila Othaman
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)