Lailatul Qadar adalah malam kemuliaan yang Allah SWT hadiahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Malam teragung ini hanya akan berlaku pada salah satu malam di dalam bulan Ramadan. Peristiwa besar ini telah dirakamkan oleh Allah SWT menerusi surah al-Qadr ayat 1 sehingga ayat 5 sebagai bukti kebenarannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.
Allah SWT yang maha berkuasa lagi maha bijaksana telah merahsiakan tentang tarikh serta waktu sebenar malam Lailatul Qadar berlaku. Para ulama bersetuju bahawa hikmah dirahsiakan peristiwa tersebut ialah untuk memberi motivasi yang tinggi kepada manusia agar bersungguh-sungguh beribadah di bulan Ramadan untuk memperoleh malam Lailatul Qadar. Sungguhpun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak terleka maka terdapat beberapa panduan yang telah digariskan tentang jangkaan bila berlakunya Lailatul Qadar ini.
Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad dan Muslim yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain.” Begitu juga panduan yang diberikan oleh para ulama untuk menentukan malam Lailatul Qadar. Sebahagian dari para ulama seperti Ibnu Abas dan Imam Ahmad mengatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan (pendapat terkuat).
Sebahagian yang lain pula berpecah pandangan. Ada yang mengatakan Lailatul Qadar akan berlaku pada malam 21,23,24 dan juga pada malam terakhir bulan Ramadan. Kesemua pandangan tersebut mempunyai hujah berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW.
Kesemua pandangan ini menggambarkan bahawa Rasulullah dan para ulama terdahulu telah berusaha semaksimum yang mungkin agar tidak akan terlepas daripada memperoleh malam Lailatul Qadar. Ganjaran luar biasa yang Allah SWT janjikan yang mana pahala beribadah di malam Lailatul Qadar seumpama beribadah lebih dari 1000 bulan atau 83 tahun menjadi satu dorongan yang kuat untuk kita semua berusaha mendapatkannya.
Menerusi ayat ke 4 dari surah al Qadr, dapat kita fahami bahawa peristiwa malam Lailatul Qadar ini turut disertai oleh Jibrail dan para malaikat lain yang sangat besar jumlahnya. Mereka turun dari alam rohani ke alam duniawi lalu mengucapkan salam kepada orang mukmin. Mereka mengucapkan tasbih dan memohon keampunan bagi umat Nabi Muhammad SAW sehingga waktu fajar.
Menghayati suasana yang berlaku pada malam Lailatul Qadar membuatkan kita insaf dan bersyukur atas kurniaan yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhamaad SAW. Sesungguhnya sifat kasih dan sayang Allah SWT terhadap hamba-hambaNya amat luas selagi mana manusia itu taat kepada perintahNya dan menjauhi laranganNya.
Melalui peristiwa Lailatul Qadar ini Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunanNya bagi mereka yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia. Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh kedua-dua kurniaan ini kerana ia merupakan syarat utama untuk melayakkan manusia memasuki syurga Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga.
Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah sahaja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.” (Riwayat al-Bukhari).
Para saintis barat ada melaporkan bahawa terdapat kejadian misteri yang berlaku pada waktu malam yang dinamakan sebagai ‘Bright Night’ dan ada juga menggelarnya sebagai ‘Nocturnal Sun’. Kejadian ini telah diperhatikan terjadi selama berabad-abad lamanya dan hanya berlaku satu kali dalam setahun. Kecerahan pada malam ‘Bright Night’ ini membolehkan seseorang membaca buku atau melihat objek sejauh 200m walau tanpa kehadiran cahaya bulan dan meteor.
Shephard & Cho (2017) merumuskan bahawa pada malam tersebut terdapat empat jenis gelombang atmosfera yang berada di altitud yang tinggi bergerak perlahan sehingga ianya bergabung dan membebaskan cahaya yang 10 kali ganda lebih terang berbanding kebiasaannya di ruang atmosfera.
Rauf et al, 2020 pula telah menjalankan kajian untuk menentukan malam Lailatul Qadar yang lepas berdasarkan gegaran bumi. Mereka mendapati terdapat gegaran bumi dalam satu malam di bulan Ramadhan yang sangat rendah daripada segi kuantiti dan kualitinya malah pusat gegarannya juga jauh daripada manusia sehingga tenaga yang dibebaskan oleh gegaran tersebut tidak dapat dirasai oleh manusia berbanding malam-malam yang lain.
Mereka menyatakan kemungkinan malam ini adalah malam Lailatul Qadar. Kajian-kajian ini adalah bertepatan seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah yang mana menyatakan antara tanda-tanda malam Lailatul Qadar adalah malamnya terang walau tidak berbintang dan suhunya tidak panas dan tidak juga sejuk manakala siang harinya adalah redup. Pada malam Lailatul Qadar juga dijanjikan keamanan dan keselamatan daripada bencana alam.
Al-Quran dan sains tidak pernah bersalahan dalam memahami dan mentafsirkan tentang alam dan segala kejadian yang ada di dalamnya sebagaimana yang difahami oleh golongan sekularisme dan dualisme. Malahan, antara keduanya adalah saling menyokong melalui pembuktian yang ada pada kedua-duanya. Meskipun hasil dapatan dari kedua-dua kajian ini masih memerlukan kepada lebih banyak kajian lain namun sekurang-kurangnya ia mampu menambahkan keyakinan umat Islam khususnya tentang kebenaran peristiwa Lailatul Qadar yang dinyatakan menerusi Al-Quran dan Al Hadis.
Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama melipat gandakan usaha dan menjaga momentum untuk terus melakukan amal ibadah yang lebih berkualiti di penghujung Ramadan ini. Mudah-mudahan Allah SWT sudi memilih kita sebagai hamba-hambaNya yang akan memperoleh kurniaan Lailatul Qadar yang sangat kita idam-idamkan.
Oleh
Dr. Halimi Mohd Khalid
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam, PPUK, UTHM
Dr. Fahmiruddin Esa
Pensyarah/Ketua Jabatan Fizik dan Kimia, FAST UTHM