BATU PAHAT, 2 Mei 2021 – 30 penuntut tahun satu program Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya membangunkan reka bentuk modul sistem pertanian bandar (moden) untuk menggalakkan aktiviti penanaman sendiri sumber makanan bagi memastikan sekuriti makanan tidak terjejas.

Idea reka bentuk modul sistem ini dengan kerjasama Jabatan Pertanian Batu Pahat, Pejabat FAMA Batu Pahat dan Suria Bistari Agrotech Enterprise ini merupakan sebahagian daripada projek semester yang sedang berjalan dan bagi memenuhi keperluan kursus Studio Senibina.

Bagi meningkatkan lagi pengetahuan asas dan kemahiran para penuntut terbabit, mereka turut mendapat bimbingan dari beberapa pensyarah kursus Binaan Bangunan dan kursus Kelestarian Dalam Senibina.

Menurut Ketua Projek, Nadiyah Noor Hisham projek ini telah mengambil masa selama empat minggu bermula daripada fasa reka bentuk sehinggalah penghasilan modul.

Jelas beliau, sistem pertanian moden yang direka bentuk oleh penuntut jurusan senibina ini menggunakan kaedah pembinaan kayu sebagai struktur utama.

Antara lima modul sistem yang telah dibangunkan, terdapat satu modul berasaskan sistem akuaponik yang mana penternakan ikan keli sebagai asas kepada sistem pembajaan melalui air yang melalui setiap corong tanaman.

“Selain itu, terdapat juga modul sistem yang mengintegrasikan penternakan ayam yang mana najis yang terhasil akan dikumpulkan, dikeringkan dan digunakan dalam penghasilan baja serta akhirnya untuk kegunaan tanaman agar lebih subur

“Setiap reka bentuk yang dihasilkan menjadi sangat menarik serta memberikan input tambahan kepada sistem sedia ada memandangkan harga untuk sistem sedia ada adalah agak tinggi dan kurang sesuai untuk membantu penduduk daripada segi kewangan,” katanya.

Perkara ini diakui oleh wakil daripada Jabatan Pertanian Batu Pahat, Kamaruzzaman Abd Salam yang menyatakan idea reka bentuk dan inisiatif yang dihasilkan oleh penuntut senibina ini sangat berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai keunikan tersendiri dan bernilai tinggi.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan dan ubah suai perlu dilakukan pada sistem tersebut.

Sementara itu, Pegawai FAMA Daerah Batu Pahat, Azwan Akimat pula berkata penggunaan tapak di lokasi FAMA dan usahasama yang dijalinkan bersama Jabatan Senibina UTHM dapat menggalakkan aktiviti pembelajaran dan lebih banyak penyelidikan berpotensi dijalankan khususnya kepada pihak yang berminat dengan sistem pertanian moden.

Projek yang dijalankan itu juga turut mendapat tajaan bekalan tanah berkompos daripada pihak Suria Bistari Agrotech Enterprise yang mana modul sistem yang dihasilkan menggunakan tanah serta baja organik sekali gus dapat menghasilkan tanaman yang bebas daripada bahan kimia serta selamat dimakan.

“Menerusi sistem pertanian moden, pelbagai manfaat dapat diperolehi antaranya dapat memudahkan suri rumah dan penduduk bandar, membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah dalam situasi pasca Covid-19 dan dapat menjamin bekalan makanan yang mencukupi malah lebih menjimatkan pada masa akan datang,” kata Nadiyah.

 

‘Hexapot’ direka bentuk dalam bentuk modular dan sangat fleksibel

Sistem yang menggunakan tangki air dan saluran air menggunakan pam manual

Sistem dulang dimana, mudah untuk meletakkan serta menyusun semaian bijik benih serta sayuran

Sistem Akuaponik ikan keli bersama tanaman sayuran