Pada era digital dan industri 4.0 ini, cabaran menempuh alam dunia pekerjaan menjadi semakin kompleks dek kerana persaingan yang tinggi dalam kalangan graduan. Dari sudut lain, tidak ramai graduan yang mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan yang diperolehinya.

Menurut sumber kajian pengesanan graduan KPM 2019, seramai 481 bilangan graduan doktor falsafah, 2314 graduan Sarjana, 31,511 graduan Sarjana Muda dan 20,706 graduan diploma masih belum mendapat pekerjaan pada tahun 2018. Angka ini akan semakin meningkat jika tiada kesedaran dan tindakan yang diambil oleh semua pihak, terutamanya individu yang terlibat secara langsung dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan kaya dengan kemahiran yang diperlukan bagi menempuh alam pekerjaan.

Masalah ini semakin meruncing apabila pasaran pekerjaan yang disediakan oleh industri tidak memerlukan kemahiran teknologi yang tinggi dan selari dengan kemahiran dan tahap keintelektualan yang dimiliki oleh graduan universiti yang dilahirkan setiap tahun. Universiti dan institut pengajian tinggi yang lain seolah-olah tidak lagi relevan dengan pasaran kerja yang diperlukan oleh anak-anak muda pada generasi akan datang.

Sedar akan masalah ini, kerajaan mengambil inisiatif  mewujudkan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputra (TUBE) pada tahun 2014 bagi melahirkan graduan yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan. Kerajaan juga turut menyokong penuh kewujudan program-program lain seperti program Skim Usahawan permulaan Bumiputra (SUPERB) di bawah kelolaan TERAJU, eUsahawan dan eRezeki di bawah program #YOUCANDUIT kelolaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mengurangkan masalah pengangguran ini.

Walaupun kerajaan menyediakan banyak peluang dan program bagi mengatasi masalah pengangguran ini, kesedaran perlu ada juga pada diri graduan itu. Graduan haruslah berusaha memberi nilai tambah pada diri terutamanya dengan memperkayakan diri dengan kemahiran pemasaran digital untuk menghadapi era industri 4.0.

Sebagai penyelesaiannya, masalah ini dapat diatasi sekiranya graduan memberikan perhatian sejak belajar di universiti lagi dengan mempelajari kemahiran-kemahiran lain yang bukan sekadar menjanjikan pekerjaan, malah memperolehi pendapatan yang lumayan. Antara kemahiran yang dicadangkan seperti kemahiran pemasaran digital (digital marketing), pengaturcaraan (programming), perundingan pemasaran digital (digital marketing consultant/coaching), kemahiran menulis surat jualan (Copywriting) dan pembangunan perisian (software development).

Sebagai contoh, mengikut statistik  kedudukan bilangan pelawat website tertinggi di Malaysia pada carta top 20 oleh Alexa ranking, hampir kesemua website yang menduduki pada carta top 20 ini memerlukan kemahiran pemasaran digital, pengaturcaraan, pembangunan perisian dan kemahiran menulis surat jualan.

Bayangkan sekiranya graduan yang menganggur ini mempunyai kemahiran-kemahiran seperti ini, penulis percaya graduan yang menganggur ini bukan sahaja diterima bekerja oleh syarikat digital yang terdapat seperti senarai di atas, malahan graduan itu sendiri mampu menghasilkan sebuah syarikat sendiri yang mampu menjana pendapatan jutaan ringgit setiap bulan dan menjadi sebuah syarikat yang bersifat global dan mampu menjadi pesaing kepada syarikat-syarikat yang tersenarai.

Bercakap mengenai pemasaran digital ini, konteknya cukup luas untuk diulas. Sebagai contoh, kemahiran utama pemasaran digital ini adalah bertujuan untuk memastikan pelawat akan singgah ke web jualan atau lama sesawang yang dibina dan akhirnya menghasilkan satu jenama yang dikenali dan menduduki carta trafik/ pelawat tertinggi seperti senarai laman web di carta top 20 di atas. Strategi mendapat pelawat ke laman sesawang ini ada banyak cara, antaranya adalah seperti kemahiran menulis artikel yang diindeks oleh google iaitu kemahiran SEO (Search engine optimization).

Sebagai kesimpulan, penulis percaya apabila graduan mempunyai kemahiran pemasaran digital seperti yang dibincangkan, graduan bukan sahaja mampu mengatasi masalah pengangguran yang dihadapi oleh anak muda masa kini. Malah konteks pandangan oleh seorang graduan itu akan berubah 180 darjah, iaitu setelah graduan tamat pengajian, masing-masing berlumba-lumba untuk menubuhkan sebuah syarikat yang menghasilkan pendapatan kepada diri sendiri.

Bukan itu sahaja, graduan universiti negara kita akan menjadi pemimpin dan pemandu arah bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk melanjutkan pengajian ke menara gading. Dengan itu, masalah pengangguran itu akan dapat diatasi dengan sendirinya sekiranya fokus utama graduan diberi keutamaan kepada kemahiran-kemahiran pemasaran digital yang selari dengan revolusi industri 4.0 masa kini.

 

Dr. Mohd Zulariffin Md Maarof

Pusat Pengajian Diploma

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)