Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang layak untuk mendaftar segera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui saluran pendaftaran yang disediakan.
“Saya sangat berharap kita semua memainkan peranan masing-masing menyokong program Vaksinasi Kebangsaan ini bagi menjayakan usaha kerajaan melandaikan keluk Covid-19,” katanya ketika menyempurnakan program Malaysia Prihatin yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 13 Mac 2021.
Program yang diselaraskan oleh UTHM ini diadakan bertujuan untuk memberikan penjelasan kepada masyarakat berhubung inisiatif dan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani Covid-19 serta penjelasan tentang program Vaksinasi Kebangsaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus populasi rakyat di Malaysia menerima suntikan vaksin dalam tempoh setahun.
Menurut beliau pelbagai inisiatif pencegahan, pembendungan dan kawalan pandemik dilakukan kerajaan dalam memastikan bukan sahaja wabak ini dihapus segera, malah kelangsungan hidup rakyat dapat diteruskan.
Antaranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kawalan sempadan, kuarantin wajib dan saringan bersasar, sanitasi awam dan program meringankan beban rakyat seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan moratorium pembayaran pinjaman.
Datuk Noraini turut berkongsi langkah proaktif yang telah diambil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui program #KPTPrihatin antaranya pihaknya bekerjasama dengan institut pengajian tinggi (IPT) membantu para pelajar dari keluarga B40 melalui pemberian bantuan pelan data dan peranti dengan harapan ia dapat memudahkan para pelajar menjalani PdP secara dalam talian.
“Ini termasuklah Bantuan RM50 Secara One-off kepada 76,153 pelajar baharu Sesi Akademik 2020/2021 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta, Bantuan Pelan Data B40 dengan peruntukan sebanyak RM24 juta yang memanfaatkan 320,396 pelajar dan Bantuan Peranti B40 bersasar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada 8,965 pelajar.
“Pihak KPT juga turut memberi bantuan lain seperti 15 peratus pengurangan pengajian di semua universiti awam, moratorium PTPTN, penyediaan makan dan minum kepada 82 ribu pelajar, bantuan one-off RM200 kepada 841,464 pelajar dan turut menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/UNIK ID,” katanya.
Hadir sama ke program tersebut, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar; Ketua Pengarah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti KPT, Ts. Zainab Ahmad; Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Haji Ismail Abu.
Turut berlangsung, sesi forum bertajuk “Vaksin : Peranan Pendidik Mendepani Cabaran Era Pandemik” dan dimeriahkan dengan kaunter-kaunter pameran dan pemeriksaan kesihatan percuma khas untuk pengunjung yang hadir.