Kita maklum dan sedar bahawa ramai yang terjejas dengan kehadiran virus Covid-19 yang  melanda dunia ketika ini, bukan sahaja dari segi ekonomi malah melibatkan kesihatan fizikal dan juga mental.

Hampir seluruh lapisan masyarakat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan untuk membendung penularan wabak ini. Pergerakan kita semakin terbatas dan ramai yang kehilangan pekerjaan serta terputus sumber pendapatan. Golongan bawahan dan berpendapatan rendahlah yang paling terjejas teruk dan menerima impak yang paling besar kesan situasi ini.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, golongan yang terkesan amat memerlukan bantuan kewangan demi kelangsungan hidup. Pelbagai bantuan dan inisiatif yang digariskan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu masyarakat yang terkesan antaranya seperti program Bantuan Prihatin Nasional (BPN), moratorium pembayaran pinjaman dan diskaun tambahan penggunaan kadar elektrik.

Di era pandemik ini, walaupun masih wujud golongan masyarakat yang prihatin dan saling menghulurkan bantuan, namun jumlah masyarakat yang terjejas juga semakin meningkat tinggi dan majoritinya tidak mampu berdiri sendiri.

Golongan yang ingin membantu juga terbatas dek kerana keadaan ekonomi sendiri juga terjejas. Keterbatasan dari segi kewangan menghalang usaha mereka yang prihatin untuk memberikan bantuan secara berterusan.

Namun tahukah anda bahawa mutakhir ini, selari dengan perkembangan teknologi yang berkembang pesat, wujud cara baharu yang boleh kita lakukan untuk membantu golongan yang memerlukan tanpa mengeluarkan sumbangan berbentuk kewangan, barangan mahupun tenaga seperti yang biasa kita lakukan. Cara ini sebenarnya amatlah dekat dengan cara hidup moden kita pada hari ini.

Kewujudan media sosial yang pelbagai bukanlah sesuatu yang asing kepada masyarakat hari ini. Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, Telegram dan YouTube adalah antara aplikasi yang digunakan secara meluas oleh semua lapisan masyarakat untuk pelbagai tujuan.

Namun, ramai yang masih belum sedar bahawa salah satu media sosial ini sebenarnya boleh digunakan untuk menghulur bantuan atau bersedekah cara moden. Penggunaan aplikasi Youtube paling mudah dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Susulan pandemik Covid-19 ini, jumlah Youtuber meningkat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ramai antara mereka boleh dikatakan bijak mengambil peluang atas keyakinan diri yang tinggi untuk berada di hadapan kamera, mempersembahkan sesuatu  dengan cara menghasilkan video-video berkaitan hobi, minat atau aktiviti harian mereka. Mereka datang daripada pelbagai latarbelakang termasuklah golongan-golongan yang sumber pendapatannya terjejas akibat wabak ini.

Selain itu, terdapat juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang membuat video-video di YouTube berkaitan aktiviti amal yang mereka jalankan. Sebagai contoh, mereka menghasilkan video memasak untuk disedekahkan kepada para asnaf. Terdapat juga kumpulan-kumpulan sukarelawan yang membuat video tentang aktiviti bantuan yang dihulurkan kepada masyarakat dan biasanya content seumpama itu meraih jumlah tontonan yang agak tinggi.

Jumlah tontonan yang tinggi seterusnya membolehkan mereka dibayar oleh Google Adsense apabila syarat-syarat yang ditetapkan dipenuhi. Jumlah langganan atau subscriber yang tinggi juga boleh membantu mereka menjana lebih pendapatan.

Ramai antara kita menggunakan Youtube hari ini untuk mendapatkan informasi ataupun hiburan. Jadi, bagaimana yang dikatakan bersedekah cara moden melalui YouTube? Sekiranya anda gemar menonton video-video di YouTube, anda digalakkan untuk menonton video-video yang dihasilkan oleh Youtuber yang datang dari latarbelakang yang kurang berkemampuan ataupun YouTuber yang membuat kerja-kerja amal ini.

Anda juga digalakkan untuk melanggan ataupun subscribe saluran mereka. Tiada bayaran dikenakan untuk langganan video-video tersebut namun secara tidak langsung langganan anda akan meningkatkan pendapatan mereka melalui jumlah tontonan yang tinggi.

Inilah yang dimaksudkan bersedekah cara moden tanpa memerlukan sebarang bentuk kewangan, barangan mahupun tenaga. Dengan tontonan dan langganan anda sudah cukup untuk membantu mereka menjana kewangan mereka sendiri.

Berhibur sambal beramal. Tontonan anda juga dapat membantu menjana pendapatan individu yang berkeperluan dan badan-badan amal yang ingin menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Di kala ramai kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19, platform yang percuma ini semestinya peluang terbaik untuk dijadikan modal menjana pendapatan utama atau sampingan serta saluran untuk bersedekah.

Saluran dan peluang yang ada ini patut digunakan sebaiknya bagi merangsang ekonomi masyarakat di negara ini. Walaupun sumber pendapatan anda sendiri mungkin berkurangan, anda masih boleh membantu dengan cara yang menghiburkan dan percuma.

 

Puan Suzilla Jamari

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa, UTHM

 

Kredit foto: muslimobsession.com/sedekah