KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Prestigous Discovery Sdn. Bhd. (PDSB) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) pada 14 Januari 2021 melibatkan projek bernilai RM 200,361.00.
MoA tersebut melibatkan kerjasama dalam program perundingan Reliability, Availability, Maintainability and Safety (RAMS) sekali gus aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang akan melibatkan penyelidik dan pelajar UTHM dalam bidang kejuruteraan rel, pembangunan perisian, kejuruteraan elektrik dan elektronik, pertanian pintar dan sebagainya.
Sesi menandatangai perjanjian MoA, UTHM diwakili oleh Ketua Perunding Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid dan Ts. Dr. Hairulazwan Hashim selaku perunding bersama, manakala pihak PDSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Azharuddin Md. Kassim dan Pengarah Urusan, En. Azman Nordin.
Dalam usahasama ini juga pihak PDSB telah menaja kos pembiayaan pelajar UTHM ke peringkat Doktor falsafah sebanyak RM 15,000.00.
Jaringan kerjasama universiti-industri ini terbentuk melalui projek disertasi pelajar Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel yang diselia oleh Ts. Dr. Hairulazwan Hashim. Hasil kerjasama tersebut, pihak PDSB mencari pakar tempatan dalam bidang RAMS untuk Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB), KTMB.
Melalui pengalaman Dr. Aziati dan Profesor Madya Ts. Dr. Rosmaini dalam bidang RAMS bersama syarikat gergasi industri rel SAPURA EVD Consortium untuk projek MRT 2, maka terhasilnya kerjasama strategik di antara UTHM dan PDSB.
Ir. Azharuddin berkata mereka perlu menggalakkan ramai tenaga pengajar universiti untuk berkolabrasi dengan industri contohnya bermula dengan projek-projek kecil pelajar tahun akhir agar terbentuknya hubungan dua hala antara universiti dan industri terutamanya dalam bidang tenaga mahir berkeperluan tinggi seperti bidang rel.”
Menurut Dr. Aziati pula, pihak universiti berbesar hati dapat bekerjasama dengan PDSB yang merupakan sebuah industri teknikal yang memainkan peranan utama dalam pelbagai sektor di seluruh negara, dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan seiring dengan kepakaran yang ada.
“Kerjasama ini sejajar dengan objektif penubuhan Pusat Kecemerlangan ICoE-Rel di UTHM untuk memenuhi permintaan industri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga mahir luar negara, dan bekerjasama dengan pihak industri untuk membangunkan tenaga pakar negara kita di peringkat global.
“Perjanjian kerjasama pada kali ini secara keseluruhannya akan menjadi penanda aras dalam hubungan universiti-industri yang mementingkan kualiti kerja berimpak tinggi dan memenuhi keperluan kerjaya penyelidik.
“Ia juga diharapkan mampu memenuhi keperluan dan kehendak keperluan program kejuruteraan yang di pantau oleh Lembaga Akreditasi Kejuruteraan (EAC) dan BEM,” katanya.
Untuk rekod, Prestigious Discovery yang lebih dikenali dengan jenama produk “Viscon” adalah satu-satunya syarikat Bumiputera pembuatan peralatan elektronik dan pembangunan sistem antaranya Viscon Remote Terminal Unit (RTU) dan Viscon Master System Software yang telah memenangi pelbagai anugerah kecemerlangan produk.
RTU adalah sebahagian dari pelbagai komponen keseluruhan sistem kawalan dan solusi penyelesaian pemerolehan data (SCADA). Syarikat Bumiputera ini adalah pengeluar tunggal dalam bidang integrasi data di Malaysia dan ianya menyediakan perkhidmatan berterusan untuk pelanggan dalam sektor logistik dan juga tenaga.
Syarikat ini kini memanfaatkan sensor dan teknologi penyatuan sistem ke arah penyelidikan dan inovasi dengan melebarkan sayap ke teknologi pertanian pintar yang dikenalli sebagai VisconAgro di kawasan luar bandar seperti sistem fertigasi.
Pihak universiti pula mempunyai kekuatan dan kepakaran yang membolehkan industri berkerjasama dengan ahli akademik untuk membantu inovasi produk serta perkhidmatan mereka.
“Jalinan kerjasama ini diharapkan dapat memberi dorongan tambahan kepada semua yang terlibat untuk bekerjasama dengan lebih efektif demi mencapai manfaat bersama selain mampu meningkatkan aktiviti pengantarabangsaan dalam bidang akademik mahupun penyelidikan terutamanya dalam bidang rel,” kata Dr. Aziati.