Hasil tinjauan kilat yang dilakukan, majoriti pensyarah di salah sebuah universiti di selatan tanah air rata-ratanya menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan kemasukan enam kategori pelajar institusi pendidikan tinggi ke kampus secara fizikal pada Mac depan bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid iaitu secara pertemuan fizikal dan pengajian dalam talian.

Enam kategori pelajar berkeperluan yang telah dibenarkan untuk kembali ke kampus melibatkan :

Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

Kategori kedua membabitkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian.

Ketiga, pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

Bagi kategori keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom.

Kategori kelima, pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan keenam pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

Bagi pelajar yang berkeperluan kategori pertama, khususnya para pelajar yang berada di tahun akhir, mereka perlu menyelesaikan silibus atau kursus-kursus yang dijalankan secara praktikal. Kepulangan mereka ke kampus akan membantu memudahkan urusan pembelajaran bagi membolehkan mereka menghabiskan pengajian atau bergraduan pada tempoh masa yang ditetapkan atau Graduate on Time (GoT).

Selain itu, beberapa program yang memerlukan pembelajaran di makmal dan bengkel yang tidak dapat dijalankan sepenuhnya secara dalam talian contohnya dalam bidang teknologi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memerlukan pelajar menjalankan amali dan mengendalikan mesin-mesin tertentu, selain menimba pengalaman sebenar.

Sememangnya ada teknologi tertentu seperti realiti maya (virtual reality) yang dapat membantu, tetapi mereka masih memerlukan pembelajaran bersemuka dan pengalaman sebenar dalam menimba kemahiran. Kita mahu melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, yang mana ianya tidak boleh melakukannya secara dalam talian.

Keperihatinan juga difokuskan kepada pelajar yang tidak memiliki capaian internet serta persekitaran yang tidak kondusif seperti di pendalaman. Ini kerana kekurangan ini akan menjadi halangan dan cabaran buat mereka untuk meneruskan pembelajaran secara maya. Apabila ada pelajar yang tidak dapat mengikuti pembelajaran secara berkesan, perkara ini akan menyumbang kepada faktor kegagalan pelajar mencapai gred atau markah yang baik.

Bagi PdP secara hibrid, pelaksanaannya melibatkan sebahagian kandungan pengajaran adalah secara maya dan sebahagian lagi secara fizikal pada waktu yang berbeza, atau gabungan kedua-duanya bersemuka dan maya secara serentak dalam waktu yang sama.

Kaedah ini dilihat sebagai satu model pembelajaran baharu yang memberi tumpuan kepada teknologi dan satu pendekatan yang terbaik diguna pakai ketika menghadapi era pendamik.

Ini menuntut universiti serta para pensyarahnya untuk lebih kreatif membuat persediaan yang rapi dari sudut keadah pengajaran serta alat bahan bantu mengajar -ABBM (teaching aids) yang bersesuaian.

Ini termasuk penyediaan bilik atau ruang kuliah yang perlu dilengkapi dengan peralatan yang kondusif, akses capaian teknologi yang maksimum, (wifi, audio visual, projektor, skrin layar digital) bagi menyokong pelaksanaan PdP hibrid secara bersemuka dan dalam talian pada waktu yang sama atau berasingan.

Selain itu bagi persediaan pensyarah, apa yang perlu dilakukan adalah meningkatkan penguasaan pengunaan platform penyampaian secara digital (virtual communications platforms) contohnya seperti Google meet, Zoom, Skype, Google Hangouts, ezTalks Cloud Meeting, WebEx) selain meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan pelajar dalam dua situasi yang berbeza ini.

Sebagai contoh, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) satu Platform rasmi e-Pembelajaran – AUTHOR telah dibangunkan bagi menyokong sepenuhnya PdP secara teradun (Blended Learning) dan campuran (Hybrid learning). Melalui AUTHOR, Pensyarah boleh membawa sesi pembelajaran dan pengajaran di bilik kuliah ke dalam talian.

Sistem ini membolehkan pensyarah memberikan tugasan, kuiz dan pemilihan untuk pelajar, mengurus kelas dan menyatukan semua aktiviti-aktiviti mereka di satu tempat. Pensyarah juga mempunyai pilihan yang tidak terhad dari segi perkongsian kandungan digital seperti memasukkan video pengajaran dan dari storan awan (cloud storage).

Melalui kedua-dua platform e-pembelajaran dan digital pensyarah boleh berinovasi dalam menyediakan bahan pengajaran dan penyampaian maklumat secara lebih interaktif bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik minat pelajar untuk mengikuti PdP secara berterusan serta tidak membosankan.

Sementara itu jadual waktu kuliah juga perlu diselaraskan bagi pelajar dalam talian serta yang bersemuka agar sesi pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan oleh kedua-dua kumpulan pelajar.

Persediaan ni perlu agar model pembelajaran ini dapat dilaksanakan secara berkesan dalam menyampaikan kursus sepenuhnya kepada pelajar selain ruang kuliah juga mampu menempatkan para pelajar dalam satu sesi pembelajaran mengambil kira penjarakan sosial.

Pembelajaran secara hibrid juga dari sudut positifnya memberikan pengalaman   yang mengujakan dengan cara menggabungkan pertemuan konvensional  dan  bersemuka  di  kelas  dengan secara  e-pembelajaran iaitu  mengabungkan Traditional -Virtual  Classes.

Kebenaran pulang ke kampus ini juga bukanlah satu keistimewaan bagi golongan pelajar tertentu bahkan ianya mengambil kira pelbagai aspek kerana negara masih berada dalam keadaan pandemik yang tidak menentu.

Oleh yang demikian, para pelajar yang berpeluang kembali ke kampus perlu memanfaatkan sebaiknya ruang yang diberikan.  Ikuti pembelajaran dengan sebaiknya dan manfaatkan setiap masa yang ada dengan menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan.

Bila diberi kebenaran untuk pulang ke kampus bermakna risiko terdedah dengan jangkitan virus Covid-19 tetap ada. Justeru itu, bagi pelajar yang memilih untuk menjalani PdP di kampus perlulah mematuhi arahan dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)