Profesor Madya Dr. Ramlee Kamarudin dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2020 berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam aktiviti penyelidikan dan pengantarabangsaan

Beliau yang merupakan pensyarah dan penyelidik dari Jabatan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) antara 30 penyelidik Malaysia yang menerima pengiktirafan itu ketika diumumkan Januari lalu.

Menurut Dr. Ramlee, faktor kejayaan beliau didorong oleh usaha yang berterusan dan sikap yang suka menerima cabaran.

Pelbagai aktiviti pengantarabangsaan yang telah diceburinya sebelum ini menjadi pemangkin dan motivasi dalam aktiviti pengajaran dan penyelidikan beliau.

“Saya telah menerima pelbagai geran antarabangsa seperti Erasmus+, Global Challenges Research Fund dan AUN-SEED yang membolehkan pelbagai rangkaian dan jaringan kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan dapat dilakukan dengan penyelidik-penyelidik dari institusi dan industri luar negara seperti di Jepun, United Kingdom, Poland, Perancis, India, Australia dan Indonesia.

“Saya juga turut melawat dan menjadi visiting researcher di beberapa universiti terkemuka dunia seperti University of California Los Angeles, USA, Penn State University, USA, RMIT University, Australia, Silesian University of Technology, Poland, NYU, New York, USA, University of Rennes 1, France, TU Delft, Holland, Tokyo Institute of Technology, Japan dan Queen Mary University London, UK,” katanya ketika berlangsung sesi TRSM Induction pada 18 Mac lalu.

Kepakaran dan penyelidikan beliau tertumpu kepada pembinaan dan rekabentuk antena sejak memperolehi ijazah falsafah kedoktoran (Ph.D) daripada University of Birmingham, United Kingdom (UK) pada tahun 2008.

Sebelum menyertai UTHM pada Mei 2019, beliau merupakan Pensyarah Kanan di Centre for Electronic Warfare, Information and Cyber, Cranfield Defense and Security, Cranfield University, UK dan Profesor Madya di Wireless Communication Centre, Universiti Teknologi Malaysia.

Menyingkap sumbangannya dalam akademik dan penyelidikan, Dr. Ramlee dan penyelidik bersama yang terdiri daripada pelajar pra dan pasca-siswazah telah menerbitkan lebih 250 penerbitan in leading journals and international proceedings seperti  IEEE Transaction on Antennas and Propagation, IEEE Antennas and Wireless Propagation Letter, IEEE Antenna Magazine dan IEEE Access. Hasil penerbitan ini telah melayakkan beliau memperolehi Web of Science H-Index = 22 dan SCOPUS H-Index = 27.

Manakala pencapaian beliau dalam aspek sitasi juga amat membanggakan kerana Dr. Ramlee berada dalam kelompok penyelidik yang mempunyai jumlah sitasi melebihi 1500 bagi Citations in Web of Science dan 2700 Citations in SCOPUS.

Dengan pengalaman dan kepimpinan di peringkat global ini, beliau telah diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan UTHM untuk menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Antarabangsa sejak November 2019.

Berdiri dengan jawatan tersebut, beliau telah menggariskan enam Pelan Transformasi Pejabat Antarabangsa iaitu Global Reputation and Visibility, CQI of Customer Services, Enhancement and Advancement of Academic Programmes, International Students Overall Experience, Boosting Research and Networking and Utilisation of New Technologies bagi memacu keterlibatan dan keterlihatan UTHM di peringkat global.

Untuk mecapai matlamat itu, beliau juga telah menggerakkan usaha ke arah pembentukan budaya kerja yang mempunyai ciri-ciri seperti semangat bekerja dalam satu pasukan, saling memahami dan menasihati serta semangat kesukarelawan.

Dr. Ramlee berazam untuk terus memanfaatkan ilmu, pengalaman dan kepakaran beliau di peringkat global agar manfaatnya dapat dinikmati oleh komuniti dunia selain UTHM dan juga Malaysia tercinta.