Oleh Dr. Adel Ali Saeed Abduh AlGheethi, Duta Muda ASM di Malaysia

BATU PAHAT – Persidangan secara maya “Global Communication Program in Microbiology-Malaysia- 2020” anjuran bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Persatuan Mikrobiologi Amerika (ASM) yang berlangsung pada 2 Januari lalu berjaya menghimpunkan 22 penyelidik dari 15 negara bagi berkongsi ilmu dan kepakaran berkaitan bidang mikrobiologi.

Selain persidangan, program perkongsian imu dan kepakaran kendalian penyelidik UTHM, yang diketuai oleh Dr. Muhanna Muhammad Al-Shaibani bersama Dr. Nayef Alduais dan MEng. Mohammed Al-Sahari juga berjaya mengumpul kira-kira 2,850 penyelidik dan pelajar dari 75 negara sejak mula dilaksanakan pada November 2020 sehingga Januari 2021.

Menurut Dr. Muhanna, penganjuran program dan persidangan mikrobiologi secara maya ini adalah salah satu bentuk kerjasama yang sangat memberi manfaat kepada Malaysia dan ASM.

“Perkongsian ilmiah antara para penyelidik dan pelajar di seluruh dunia adalah salah satu inisiatif yang baik untuk memperkembangkan lagi ilmu pengetahuan dan pembangunan dalam bidang mikrobiologi,” katanya.

Menariknya, para penceramah dan peserta juga diberikan sijil penyertaan yang telah diluluskan oleh ASM setelah tamat program.

Beliau mewakili pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Duta Besar Republik Yaman di Malaysia, Dr. Adel Mohamed Ba Hamid atas sokongan yang diberikan, Dekan dan warga kerja FKAAB, semua pengucaptama, penyelidik dan peserta yang terlibat kerana memberi komitmen penuh sepanjang program berlangsung.