BANGI – Enam pelajar dari program Diploma Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih Anugerah Best of the Best serta pingat emas dalam kategori Innovation in Teaching and Learning ketika menyertai International Competition for Educational Innovation and Research (EDUINNOVATION 2020) anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2 Disember lalu.
Projek Inovasi ‘Adik-adik Solat 2.0 3D AR: The Development of Augmented Reality Mobile Learning Apps to Enhance Learning Experience in Prayers Towards Education 4.0’ telah dibangunkan oleh Muhammad Hilman Hakimi Abdul Rasid, Muhammad Syakir Alif Samsuddin, Muhammad Izz Qayyim Juzaimi, Nur Hanani Asmudin, Naziha Muhamad Edries dan Che Ku Afifa Che Ku Azman, di bawah seliaan Ts. Mohd Hatta Mohamed Ali @ Md Hani.
Menurut ketua projek, Hilman produk inovasi itu dicipta bagi membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran berkenaan solat dengan menggunakan teknologi realiti maya sebagai inovasi kepada kaedah penyampaian pembelajaran secara video, auditori dan kinestatik (VAK).
Tambahnya,dengan terhasilnya produk ini pembelajaran akan menjadi lebih menarik serta menyeronokkan sekali gus berupaya meningkatkan kefahaman pengguna.
“Pertandingan yang melibatkan dua kategori utama iaitu Innovation in Teaching and Learning dan Innovation in Educational Research ini sangat mencabar kerana berlangsung secara maya, yang memerlukan kami menyampaikan segalanya melalui video ringkas dalam bahasa Inggeris mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.
Mohd Hatta yang juga Ketua Jabatan Teknologi Maklumat dan Penyelidik Kanan Kumpulan Fokus ICT as Enabler (iCAN) pula berkata selain menghasilkan projek inovasi yang menarik beliau juga perlu mengusahakan nilai tambah lain seperti hak cipta, kolaborasi dengan pelbagai pihak, penerbitan akademik, potensi pengkomersialan dan reputasi bagi memastikan kumpulan ini dapat meraih kejayaan dalam pertandingan ini.
Sementara itu Dekan PPD, Profesor Madya Dr. Mohd Zaky Noh turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih beliau kepada kumpulan ini.
“Saya berharap kejayaan mereka ini mampu memberikan inspirasi kepada pelajar yang lain untuk terus bersaing, sentiasa melihat kehadapan dan terus mengejar kecemerlangan untuk diri sendiri dan juga universiti,” katanya.
Untuk rekod, penganjuran EDUINNOVATION 2020 ini merupakan acara tahunan yang mengetengahkan inovasi terbaik dalam bidang pendidikan.
Pada tahun ini, program yang bertemakan Futuristic Educational Innovation Across Industrial Revolution 4.0 ini berjaya menarik sebanyak 269 penyertaan dari dalam dan luar negara, melibatkan universiti awam dan swasta, politeknik, institut kemahiran serta sekolah menengah dan rendah.
Pemenang projek inovasi dipilih berdasarkan interpretasi kepada masalah pembelajaran dan pengajaran serta bagaimana mengatasinya, keaslian, kualiti inovasi, praktikaliti inovasi, kos efektif, pencapaian dan penghargaan yang diterima, potensi untuk komersial, kolobarasi dengan pihak industri serta komuniti dan kreativiti persembahan (video).