BATU PAHAT- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) telah berjaya menganjurkan Persidangan Antarabangsa Technical and Vocational Education and Training (TVET) kali ke-7 (WoCTVET 2020) secara maya pada 14 Disember lalu.

Walaupun negara masih di era pandemik, persidangan antarabangsa dwi-tahunan dengan kerjasama Malaysia Research Institute for Vocational Education and Training (MyRIVET) yang pada mulanya dirancang diadakan secara bersemuka ini tetap diteruskan penganjurannya secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Zoom.

Menurut Pengarah WoCTVET 2020, Ts. Dr. Alias Masek tujuan persidangan ini diadakan adalah bagi menghimpunkan pengamal TVET seluruh dunia untuk berkongsi berkaitan perkembangan terkini serta dapatan kajian-kajian yang mengkhusus kepada dunia TVET.

“Melalui persidangan ini, para penyelidik dapat berkumpul bersama-sama untuk berkongsi dan membentangkan penyelidikan dan penemuan semasa mereka.

Tambah beliau, walaupun penganjuran secara dalam talian ini mempunyai cabaran yang berbeza berbanding beberapa siri yang lepas, namun edisi kali ini diharap dapat memberi gambaran dan perspektif yang lebih luas kepada pengamal TVET seluruh dunia berkaitan masa depan dunia pekerjaan dan pembelajaran dalam transformasi digital.

Bertemakan “The Future of Work and Learning in Digital Transformation”, pihak penganjur telah menerima kira-kira 80 kertas kerja dari penyelidik seluruh dunia seperti Brunei, Indonesia, India, Pakistan, Bangladesh, United Emeriah Bersatu (UAE) menerusi hasil kajian yang berkisarkan TVET khusus kepada pengurusan dan kepimpinan, kurikulum dan instruksi, teknologi maklumat dan komunikasi, penilaian dan pengukuran, inovasi dalam teknologi pendidikan, profesion dan pembangunan kerjaya, serta teknologi dan inovasi produk.

Setelah melalui proses penilaian yang terperinci oleh penilai yang dilantik daripada pelbagai universiti awam di Malaysia, sebanyak 46 kertas kerja telah terpilih dan akan diterbitkan dalam Jurnal scopus dan selebihnya Jurnal non-scopus.

WoCTVET 2020 edisi ke-7 telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly. Edisi kali ini turut menghimpunkan pakar-pakar TVET dari seluruh dunia sebagai ahli panel dalam dua sesi forum yang bertajuk “Preparing TVET ecosystems for the future – Stakeholders, Structures and Governance” dan “TVET in context of Industry 4.0 – labour market development and skills standards”.

Sementara itu, Dekan FPTV, Profesor Madya Ts. Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq pula berkata kemunculan pakar-pakar TVET dan pemain utama industri Malaysia seperti Datuk Wahid, Tan Sri Dato’ Soh Thian Lai, Dr. Ramhari Lamichhane, Profesor Dr. Thomas hc. Schröder, Dato’ Dr. Ir. Andy Seo Kian Haw dan Profesor Dr. Rupert Maclean AO telah menarik minat hampir 400 peserta forum melalui aplikasi Zoom dan saluran YouTube UTHM TV.

“Pihak kami menerima pelbagai komen yang positif daripada peserta forum dari pelbagai negara seperti Indonesia, Brunei, Australia, Pakistan, India, Sri Lanka, Bangladesh, UAE yang mana mereka menyatakan bahawa kupasan dan idea daripada topik yang diketengahkan kepada ahli panel sangat menarik perhatian masing-masing,” ujar beliau.