Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencipta kejayaan yang membanggakan apabila berjaya meraih 13 anugerah di pertandingan Inovasi Antarabangsa (INNOCOM 2020) yang berlangsung pada 5 hingga 15 Julai lalu secara atas talian.
UTHM merangkul empat anugerah Emas, empat anugerah Emas Khas (Kategori Terbaik), empat anugerah Pembentangan Atas Talian Terbaik dan satu anugerah Abstrak Terbaik di pertandingan yang dianjurkan oleh Academic Internal Dialogue (AID), iaitu sebuah badan NGO berasaskan akademik.
Pertandingan yang diadakan buat kali kedua dan pertama kali secara atas talian ini melibatkan 200 penyertaan dari pelbagai peringkat badan organisasi, institut pengajian tinggi (IPT), sekolah menengah dan rendah dari dalam dan luar negara.
UTHM telah menghantar empat penyertaan di bawah dua kategori berbeza iaitu Produk Inovasi dan Pembentangan Poster di dalam bidang Sains dan Teknologi. Kesemuanya penyertaan ini diketuai oleh Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani, Ketua Program Statistik Industri dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) di bawah tajuk “Malaysian Secondary Boarding School Menu Planning System,” “Nutritious Menu System For Malaysian Tahfiz Primary School Children (Improve Good Memory)”, “New Fundamental Theory In Solving The Royalty Payment Problem” dan “Nutritious Planning And Scheduling For Breast Cancer Patient With Optimization Methods.”
Turut serta dalam pertadingan ini, Cik Wan Noor Afifiah Wan Ahmad, Cik Ong Ai Lee dan Puan Azila Md Sudin yang kesemuanya dari FAST, Ts. Dr. Tamil Selvan Subramaniam dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Profesor Dato’ Dr. Zuhaimy Ismail dari Universiti Teknologi Malaysia dan Dr. Wan Mohd Khairy Adly Wan Zaimi dari Universiti Malaysia Perlis.
Pertandingan inovasi ini merupakan salah satu platform kepada semua penyelidik dari pelbagai sektor dan peringkat untuk berkongsi hasil inovasi mereka dan dinilai di peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, pertandingan ini juga memberi peluang kepada semua pendidik di IPT dan sekolah untuk berkongsi idea dan amalan inovatif mereka, agar menjadi lebih produktif dan cekap dalam pengajaran.
Menurut Pengarah INNOCOM 2020, Dr. Suriani Othman pertandingan ini menggabungkan tiga elemen berbeza iaitu persidangan akademik, pertandingan inovasi dan juga penulisan.
“Kebanyakan produk atau idea inovasi yang dipertandingkan mempunyai potensi yang tinggi untuk dikomersialkan,” katanya
Sementara itu, Dr. Suliadi pula berkata kejayaan kali ini adalah berkat kerjasama dari semua ahli projek.
“Kejayaan seumpama ini membuktikan bahawa bidang sains dan teknologi terutamanya matematik dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar dan bukan sekadar pembelajaran teori di dalam bilik kuliah.
“Pertandingan sebegini bukan sahaja dapat mencungkil bakat dan kreativiti individu di peringkat sekolah, pengajian tinggi, swasta mahupun persendirian, tetapi juga dapat meningkatkan pendaftaran hak cipta yang sangat penting pada ketika ini,” katanya.