Kanser merupakan sejenis penyakit yang amat ditakuti oleh manusia. Kanser terjadi akibat pertumbuhan sel yang tidak terkawal. Kanser menjadi bahaya apabila sel tersebut mengganggu fungsi normal pada badan dan ditampilkan melalui gejala-gejala tertentu. Kebiasaannya, gejala-gejala ini hanya kelihatan apabila kanser telah berada di peringkat kronik. Laporan Malaysia National Cancer Registry Report 2012 hingga 2016 (MNCRR), menunjukan peningkatan kes kanser ialah kanser pada tahap tiga dan empat, sekali gus menunjukkan pengurangan kes kanser tahap satu dan dua. Kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari merupakan 10 jenis kanser tertinggi dikesan dihidapi rakyat Malaysia bagi tempoh 2012 hingga 2016.

Malaysian Study on Cancer Survival (MySCan) melaporkan bahawa penyakit kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia yang menyumbang kepada 8.8 juta kematian pada tahun 2015. Di Malaysia, kanser merupakan salah satu penyebab utama kematian di hospital kerajaan mahupun swasta. Justeru, apabila seseorang disahkan menghidap kanser, ambang kematian adalah perkara pertama yang melintas di fikiran dan membayangi kehidupan mereka. Pertanyaan demi pertanyaan akan datang silih berganti. Berapa lama masa yang tinggal?, sejauh mana sel kanser bertindak agresif?, adakah peluang untuk sembuh?, berapa kos rawatan diperlukan?, apakah pilihan rawatan yang terbaik (perubatan hospital atau alternatif)? dan senarai pertanyaan ini akan menjadi lebih panjang selagi pesakit tidak mendapat khidmat nasihat yang betul daripada pakar kanser. Pilihan rawatan merupakan perkara yang sering menjadi dilema bagi pesakit kanser mahupun penjaga mereka (care taker). Kepercayaan terhadap rawatan alternatif menyebabkan ramai pesakit menangguhkan rawatan hospital. Apabila rawatan alternatif tidak berhasil dan keadaan pesakit sudah berada di tahap kronik, lantas mereka beralih semula ke hospital bagi tujuan rawatan.

Dewasa ini, keupayaan teknologi maklumat (IT) dalam pembangunan aplikasi media sosial seperti laman web, Facebook, Instagram, Twitter, Blog, WhatsApp, Telegram dan YouTube sebagai medium penyampaian maklumat telah banyak mempengaruhi aktiviti seharian manusia. Maklumat tentang kanser juga tidak terkecuali daripada disampaikan melalui platform ini. Namun begitu, ada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial untuk menangguk di air keruh bagi mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan ke atas pesakit kanser yang terdesak untuk sembuh. Mereka menyampaikan berita-berita palsu dan kurang tepat mengenai kanser. Isu ini merupakan cabaran global yang sangat sukar diatasi. Kajian oleh NBC News (2019) melaporkan bahawa cabaran terbesar pada tahun 2019 adalah tentang penyampaian maklumat palsu tentang kesihatan (health misinformation). 80 peratus pengguna atas talian menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat tentang kesihatan. Tiga carian yang paling popular ialah tentang kanser, penyembuhan yang tidak dapat dibuktikan (unproven cures) dan vaksin. Namun begitu, kanser merupakan subjek utama menjadi mangsa maklumat palsu yang disebarkan dan dikongsi melalui Facebook. Semakin pesat perkembangan IT, semakin rancak dan berleluasa penipuan serta penyebaran maklumat palsu berlaku melalui media sosial. Kewujudan quackery doctors dan scam perubatan wujud begitu pantas ibarat cendawan tumbuh selepas hujan di dalam Facebook, menjadi duri dalam daging kepada pesakit kanser. Penipuan demi penipuan dan penyebaran maklumat palsu ini turut mempengaruhi golongan terpelajar hingga melibatkan kerugian puluhan malahan ratusan ribu ringgit. Lebih menyedihkan, ada juga yang kehilangan nyawa akibat mempercayai informasi maya ini. Modus operandi yang digunakan di media sosial untuk menarik perhatian mangsa adalah seperti berikut:

  1. Menyamar sebagai pesakit atau penjaga dengan memberi maklumat palsu kepada pentadbir kumpulan sokongan kanser di Facebook untuk menjadi ahli. Apabila telah menjadi ahli, mereka akan mengumpul maklumat seperti simptom penyakit, kesan sampingan rawatan hospital dan pengalaman pesakit untuk dijadikan modal memerangkap mangsa.
  2. Menjual atau mempromosi secara terbuka ubat atau makanan tambahan berasaskan herba dan makanan sunah, rawatan alternatif dan khidmat konsultasi rawatan kanser. Selain itu terdapat juga quackery doctors yang memberi konsultasi perubatan kanser melalui fb live, Youtube yang bercanggah dengan perubatan hospital yang telah dibuktikan secara klinikal.
  3. Memerangkap mangsa dengan testimoni-testimoni dan maklumat palsu makanan tambahan yang dijamin boleh menyembuhkan kanser.
  4. Menyebarluas dan berkongsi mitos bahawa rawatan hospital seperti kimoterapi, radioterapi dan pembedahan yang sangat menyakitkan, memberi kesan buruk kepada kesihatan dan boleh membawa maut.
  5. Memilih mangsa secara rawak dalam kumpulan sokongan kanser (Cancer Support Group). Mangsa akan dihubungi secara peribadi melalui aplikasi facebook messenger. Kaedah ini sukar dikesan dan dikawal oleh group administrator melainkan dilaporkan oleh mangsa.
  6. Mendapatkan nombor telefon mangsa melalui facebook messenger atau kenalan/keluarga pesakit. Seterusnya mangsa akan dihubungi melalui WhatsApp atau Telegram.

Untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan scam perubatan dan quackery doctor, pengguna media sosial terutamanya pesakit kanser perlu bijak menapis maklumat di samping mempersiapkan diri dengan ilmu IT. Tips berikut boleh dijadikan panduan apabila menggunakan media sosial untuk mendapatkan atau menyebarkan maklumat.

  1. Pastikan pesakit bertenang apabila disahkan menghidap kanser. Pada peringkat awal pesakit akan merasa takut dan tertekan. Justeru, elakkan terus merujuk kepada media sosial atau individu yang tidak pernah mempunyai pengalaman kanser atau menguruskan pesakit kanser. Elakkan juga dari merujuk blog-blog peribadi pesakit kanser kerana pengalaman mereka kadang kala boleh menyebabkan pesakit menolak rawatan hospital akibat terlalu takut. Terdapat banyak kumpulan sokongan kanser yang boleh disertai di Facebook seperti Colorectal Cancer Malaysia (CCM), JIC Society Cancer Support Group dan Cancer Survivors (Msia).
  2. Guna internet dengan bijak. Dapatkan maklumat yang berwibawa dari sumber yang sah seperti laman web Institut Kanser Negara (http://nci.moh.gov.my) dan Portal Rasmi myHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (http://www.myhealth.gov.my). Selain itu blog yang dibangunkan oleh sekumpulan doktor pakar kanser dan pakar pemakanan seperti KlinikOnkologiMaya (https://www.klinikonkologimaya.com) juga boleh dirujuk. Dengan menggunakan enjin carian Google, banyak maklumat sahih tentang kanser boleh diperolehi. Namun begitu, setiap maklumat yang diperolehi perlu divalidasi oleh doktor yang merawat supaya tidak tersalah tafsir.
  3. Sekat dan laporkan kepada pentadbir Facebook jika terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mempromosi, menjual produk overclaimed dan testimoni palsu yang boleh menyembuhkan kanser tanpa menjalani rawatan hospital.
  4. Jangan memuat naik gambar-gambar keputusan diagnos penyakit pesakit dari ct scan atau x-ray di media sosial untuk mengelakkan daripada disalah guna oleh pihak lain.
  5. Buat tetapan yang lebih selamat pada setting privacy Facebook, contohnya Friends atau Specific Friends.
  6. Kawal diri untuk tidak sewenang-wenangnya menerima orang yang tidak kenali sebagai rakan di media sosial. Semak profil dan aktiviti mereka. Tidak salah untuk unfriend atau unfollow rakan media sosial yang cuba mempengaruhi anda untuk menggunakan produk overclaimed.
  7. Jangan mudah terpedaya dengan iklan ubatan di Internet dan media sosial serta janji manis terutama membabitkan penyakit kronik seperti kanser kerana ia mengundang bahaya.

Sebagai pesakit kanser, slogan ‘Kita Jaga Kita’ bukan sahaja perlu dipraktikkan semasa pandemik Covid 19, tetapi sangat berkesan untuk mengelakkan diri daripada terpedaya dengan maklumat palsu dan penipuan di media sosial. Kebijaksanaan dalam menilai dan memilih sumber maklumat yang tulen, sahih dan dipercayai di media sosial merupakan aspek penting yang tidak boleh dikesampingkan. Pesakit kanser perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dalam IT agar dapat bersama-sama membendung penularan wabak scam perubatan dan maklumat palsu tentang kanser dari terus disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Profesor Madya Dr. Noorhaniza Wahid

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UTHM

(Penulis merupakan cancer survivor kolorektal tahap 3, 2018 hingga kini)