Setiap tahun berjuta-juta orang di seluruh dunia menderita penyakit bawaan makanan yang serius dan tahun ini merupakan antara yang paling teruk. Separuh tahun pertama di tahun 2020 telah menyaksikan sebahagian peristiwa besar, yang salah satunya seperti yang diketahui adalah penyakit berjangkit COVID-19. Adalah penting untuk menekankan bahawa insiden jangkitan yang merebak secara meluas berpunca daripada hazad mikrobiologi, kimia atau hazad makanan lain terus menjadi masalah serius bagi sistem makanan.
Dalam perkembangan terbaru, virus itu ditemui di papan pemotong yang digunakan untuk memotong salmon import di pasar Xinfadi Beijing dan perkara ini menimbulkan kerisauan berlakunya gelombang kedua wabak di China. Walaupun tidak ada bukti makanan atau pembungkusan makanan yang dikaitkan dengan penyebaran virus corona di Malaysia, ia tidak bermakna Malaysia bebas daripada risiko tersebut. Keadaan keselamatan dan kebersihan sumber makanan berasaskan haiwan semasa proses peruncitan dan proses memasak masih perlu dipantau oleh pihak berkuasa. Pelajaran yang dapat dipelajari daripada pandemik ini adalah makanan yang tidak selamat tidak hanya membawa kepada masalah kesihatan masyarakat yang serius, tetapi juga memberi impak negatif terhadap pendapatan petani, mata pencarian penjual makanan dan kelangsungan perniagaan dan perdagangan.
Sayangnya kemungkinan besar masih wujud ruang untuk virus baru dari haiwan atau makmal muncul kembali, kerana kelawar adalah hos penyimpan untuk virus seperti SARS-CoV. Dari perspektif yang lebih besar, bermula dengan aspek biodiversiti, selama manusia terus mengubah kegunaan tanah untuk penempatan, pertanian, pembalakan, dan pengekstrakan, ini secara tidak langsung akan memusnahkan zon penyangga semula jadi yang biasanya akan memisahkan manusia dari haiwan. Kegiatan seperti ini memungkinkan percambahan spesis yang boleh beradaptasi dengan lebih baik di persekitaran yang diubahsuai manusia (seperti kelawar dan tikus), justeru mewujudkan peluang untuk patogen berpindah dari haiwan ke manusia dan menyebabkan penyakit bawaan makanan. Apabila populasi global meningkat dan proses pembandaran secara besar-besaran berterusan dalam dekad yang akan datang, trend ini dijangka meningkat berganda-ganda.
Isu lain yang tidak kurang pentingnya adalah, jaminan dan ketersediaan makanan. Ketidakjaminan makanan wujud apabila manusia kehilangan akses kepada makanan yang selamat dan berkhasiat dan tidak memiliki gaya hidup yang aktif dan sihat bagi pertumbuhan dan perkembangan normal. Akses kepada makanan bergantung pada tahap kemiskinan, kuasa membeli isi rumah, biaya makanan asas dan adanya infrastruktur pengangkutan dan pasar serta sistem pengedaran makanan. Bagi isi rumah termiskin, makanan menyumbang sebahagian besar perbelanjaan mereka, dan harga makanan secara langsung mempengaruhi jaminan makanan mereka.
UNICEF melaporkan bahawa seiring berlalunya masa, lebih daripada 820 juta orang akan kekurangan gizi, menyukarkan lagi cabaran untuk mencapai sasaran Zero Hunger pada tahun 2030. lebih membimbangkan lagi, disebabkan wabak ini dunia akan mengalami ketidakjaminan makanan yang lebih teruk.
UNICEF juga menjelaskan bahawa pada tahun 2019, 20.7 % kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Malaysia menderita pertumbuhan terbantut, 11.5 % susut berat badan dan 12.7 % kanak-kanak (berumur 5-19 tahun) mengalami kegemukan. Persekitaran makanan yang cepat berubah (disebabkan punca makanan, bagaimana rakyat Malaysia memperoleh makanan) digabungkan dengan kekuatan pasaran yang semakin meningkat (iklan, fesyen makanan dan trend makanan) semuanya mempengaruhi tabiat makanan dan pemilihan makanan rakyat Malaysia. Seperti kebanyakkan negara lain, kemiskinan turut memberi kesan buruk kepada pemilihan makanan. Peratusan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan di kawasan bandar miskin di Malaysia mencatatkan peratusan lebih tinggi daripada petunjuk purata nasional. Apakah yang ingin disampaikan daripada data ini? Ia menandakan bahawa kesan negatif jaminan makanan terhadap rakyat miskin mungkin meningkat berkali ganda pada waktu yang tidak terjangka ini. Statistik menunjukkan di Malaysia, 19 % kanak-kanak (atau 1.77 juta orang) hidup dalam relatif kemiskinan, diikuti dengan sejumlah besar bilangan kanak-kanak berisiko jatuh ke dalam jurang kemiskinan sekiranya keluarga mereka mengalami kejutan sosioekonomi. Anak-anak ini bukan saja hidup dalam kekurangan, atau berisiko mengalami kehilangan, tetapi mereka juga mempunyai tahap kesihatan yang kurang baik, pemakanan dan pendidikan yang jauh lebih rendah daripada kanak-kanak sebaya mereka yang lebih bernasib baik.
Menurut pangkalan data Bank Dunia, kanak-kanak yang diberi makan dengan sihat selama 1,000 hari pertama dalam hidup mereka adalah 33 peratus lebih cenderung untuk melepaskan diri dari kemiskinan apabila dewasa kelak. Namun pada masa ini, 151 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mengalami kekurangan zat makanan yang kronik, di seluruh dunia. Ini membawa kepada kehilangan modal insan dan potensi ekonomi yang besar. Oleh yang demikian, ini dilihat sebagai satu cabaran besar di mana permintaan untuk makanan yang selamat semakin meningkat, dan dalam masa yang sama perlu mengekalkan jaminan makanan pada saat krisis demi kesinambungan prospek generasi akan datang.
Sekarang persoalannya, bagaimana menjadikan sistem makanan lebih lestari, dari segi keselamatan dan jaminannya di tengah-tengah wabak COVID-19? Pertama, kita perlu melihat punca masalah ini. Sama ada sebelum wabak atau ketika wabak ini, masalah di Malaysia bukanlah kekurangan makanan, melainkan kemiskinan yang tidak berkesudahan. Oleh itu, penting untuk mengambil kira peranan pertumbuhan ekonomi, ketaksamaan dan peminggiran dalam membentuk kesan jaminan makanan dan pemakanan.
Laporan terbaru oleh Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertajuk The State of Food Security and Nutrition in The World (2019) menunjukkan bahawa perkembangan ekonomi pada dasarnya akan mempengaruhi jaminan makanan dan pemakanan, bergantung pada tahap kemiskinan yang melampau dan sejauh mana rakyat miskin akan tersisih kerana tahap ketidaksamaan yang berbeza. Ketidaksamaan, bukan sahaja dalam bentuk pengagihan pendapatan, tetapi juga akses kepada perkhidmatan yang berkaitan dengan pemakanan dan infrastruktur sosial dan kesihatan. Sebagai contoh, semasa “wabak baru” ini, bagi isi rumah yang miskin tegar, adalah sukar bagi mereka untuk kelangsungan hidup kerana mereka tidak memiliki aset untuk ditukarkan kepada wang dan sering mempunyai rangkaian sosial yang lemah sebagai sokongan. Oleh kerana keadaan kewangan hanya mencukupi untuk memenuhi keperluan harian, mereka terpaksa menggunakan solusi jangka pendek untuk mengatasi masalah yang dihadapi dan memperjudikan potensi untuk menjana pendapatan yang lebih baik di masa depan, apabila gagal menghantar anak-anak ke sekolah, seterusnya membawa mereka jatuh kepada perangkap kemiskinan yang akan diwarisi turun temurun. Keperluan mengubah corak konsumsi menyebabkan pengurangan perbelanjaan diperuntukkan untuk pendidikan dan kesihatan, atau peralihan makanan daripada makanan yang kaya nutrien, seperti sayur-sayuran atau daging, kepada makanan yang lebih berkanji. Walaupun ini membantu untuk memberi tenaga yang mencukupi dalam jangka pendek, tingkah laku ini akan memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap kesihatan, kesejahteraan dan produktiviti generasi akan datang dan masyarakat secara keseluruhan.
Laporan ini menuntut tindakan di dua bahagian: yang pertama, melindungi jaminan makanan dan pemakanan melalui dasar ekonomi dan sosial yang membantu mengatasi kesan kelembapan atau kemerosotan ekonomi, dan, yang kedua, menangani ketidaksamaan yang ada di semua peringkat melalui polisi-polisi sektor-sektor berkaitan yang memungkinkan terlepas daripada ketidakjaminan makanan dan kekurangan zat makanan secara lebih lestari.
Selain itu, sektor swasta, kerajaan, saintis dan lain-lain perlu bekerjasama untuk mengkaji sumber makanan yang lebih lestari dan lebih selamat untuk memenuhi keperluan pasaran. Program seperti khidmat nutrisi dan kesihatan komuniti perlu ditingkatkan dan diperluas. Pembiayaan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan yang memungkinkan peningkatan kandungan mikronutrien dalam makanan dan sumber bahan mentah, serta pengubahsuaian sisa makanan dan biomas kepada komoditi bernilai tambah amatlah dihargai. Selain itu, reformasi dasar dan undang-undang berkaitan untuk meningkatkan kecekapan dan integrasi pasar-pasar domestik dan mengurangkan sekatan perdagangan makanan juga harus disokong.
Namun, ini semua bergantung pada kemampuan institusi dan kesiapsiagaan mekanisma luar jangka dan dana untuk menyokongnya. Walaubagaimanapun, dengan pelaburan dan sumber bantuan yang tepat, selain sistem pertanian dan makanan yang dinamik dapat menyediakan makanan yang mencukupi, berpatutan, selamat dan berkhasiat kepada semua orang, di mana-mana sahaja, setiap hari – walaupun pada masa krisis.
Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohamad Fuzi
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)