Pandemik Covid-19 ialah wabak penyakit koronavirus 2019 yang melanda dunia pada masa ini berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk (SARS-CoV-2). Bagi mengekang penularan jangkitan virus ini dalam kalangan penduduk, kerajaan Malaysia telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu. PKP ini dilihat sebagai satu langkah yang paling berkesan untuk memerangi pandemik koronavirus ini.
Namun, perintah kawalan ini dijangka memberi cabaran dan risiko yang besar terhadap industri di seluruh negara. PKP akibat Covid-19 dilihat bukan saja mengancam sektor kesihatan dan ekonomi, bahkan sektor pembinaan juga turut terjejas. PKP ini dijangka meninggalkan kesan yang ketara terhadap pemain-pemain industri pembinaan, dan terhadap industri itu sendiri. Semua pihak dan individu yang terlibat dalam industri ini, daripada pemaju, kontraktor, pembekal, hingga ke pekerja binaan, sedang dan akan melalui masa yang sukar bagi menjalankan tugas dan komitmen masing masing.
Kesan awal yang dapat dilihat dengan jelas ke atas industri ini ialah sebaik sahaja perintah PKP dilaksanakan, pembinaan yang tidak kritikal diberhentikan sementara dan semua industri berkaitan pembinaan yang kurang berkepentingan terpaksa ditutup. Ditambah dengan penutupan tapak pembinaan, pejabat perundingan dan juga pejabat kerajaan yang berkaitan, sudah tentu menjejaskan hal-hal berkaitan kerja-kerja pembinaan yang tergendala dan akan disambung semula selepas PKP berakhir. Ini kerana apabila situasi ini berlaku, pihak kontraktor tidak dapat membuat tuntutan ke atas kerja yang dilakukan, pihak perunding tidak boleh meneruskan kerja di peringkat reka bentuk mengakibatkan tuntutan yuran perundingan tertangguh, manakala kerja pada peringkat submission untuk kelulusan pihak berkuasa juga turut terjejas. Segalanya saling berkait dan terputusnya rantaian ini sudah tentu memberi impak yang begitu hebat ke atas industri ini.
Kerajaan turut menjangkakan tempoh pemulihan ekonomi negara memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan selepas krisis COVID-19 berakhir. Sudah tentu di sepanjang tempoh ini, projek-projek pembinaan yang tergendala akan melakukan urusan-urusan berkaitan seperti perolehan bahan mentah dan penyewaan peralatan. Urusan-urusan ini dijangka lebih perlahan, terutama yang melibatkan urusan dengan pihak-pihak di luar negara. Sebahagian pekerja asing pula mungkin memilih untuk kembali ke negara masing-masing berikutan rasa takut dan tidak pasti. Kesemua implikasi ini menuntut perubahan daripada semua pemain-pemain industri bagi menyesuaikan tatacara kerja dengan norma baru pasca PKP.
Bagi tujuan ini, langkah-langkah pengurusan pembinaan yang lebih praktikal dan selamat perlu dilaksanakan dalam memastikan industri pembinaan berjalan lancar selepas PKP tamat. Ini merangkumi aspek aspek berikut:
- Aplikasi kemudahan internet of things amat penting untuk mengurus hal-hal berkaitan dengan industri dan perlu digunakan oleh semua pemain industri sama ada dari pihak perunding, kontraktor, pembekal, mahupun pekerja di tapak bina. Segala aspek komunikasi, sama ada dalam memberi arahan, melakukan pembelian, atau perbincangan dan sebagainya, perlu dilakukan secara online untuk meminimakan pertemuan bersemuka terutama yang melibatkan banyak pihak.
- Penggunaan teknologi cetakan tiga dimensi (3D) dilihat sebagai satu langkah yang sangat membantu dalam mengekalkan kesinambungan proses pembinaan. Sebagai contoh, dalam kes tertentu seperti pembekal gagal membekalkan bahan atau elemen/part tertentu, yang mana menunggu replacement dari pembekal lain mengambil masa dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap kewangan. Teknologi cetakan 3D membolehkan pembuatan dan penghasilan pelbagai elemen di dalam bangunan atau struktur dapat dilakukan. Apabila syarikat boleh menghasilkan elemen/part ini sendiri, peruntukan kewangan untuk pengangkutan dengan sendirinya dapat dikurangkan.
- Melaksanakan perubahan tempoh kerja seperti lima jam waktu bekerja di pejabat dilihat sebagai salah satu pendekatan untuk meminimakan masa pekerja di dalam suatu ruang yang sama.
- Hadkan kehadiran pekerja di tapak bina pada satu-satu masa dan amalkan penjarakan sosial dalam kalangan mereka. Pengagihan tugas kepada setiap pekerja perlu diberi secara sistematik mengikut kepakaran masing-masing supaya mereka menjadi lebih cekap dan efektif. Siri penjadualan pekerja terhadap sesuatu operasi perlu dititik beratkan. Ini juga bagi membolehkan pekerja mempunyai tugasan dan hala tuju masing masing yang lebih terperinci dari segi masa dan skop kerja. Pastikan juga mereka mengamalkan kebersihan pada setiap masa dengan menyediakan hand sanitizer pada beberapa lokasi di tapak.
- Mengurangkan penggunaan hardcopy dalam urusan surat menyurat, bil-bil perolehan, surat arahan kerja dan seumpamanya. Sebaliknya dengan penggunaan internet of things dalam pengurusan, semua fail dan surat boleh disimpan dalam bentuk softcopy secara lebih selamat.
- Penyimpanan dan pengangkutan bahan mentah, besi, kotak bentuk dan peralatan pembinaan yang lebih efektif. Bahan-bahan dan peralatan ini perlu disimpan di tempat yang bersih, berbumbung, dan mempunyai pengudaraan yang baik. Semua proses penyimpanan dan pengangkutan ini perlu dikendalikan oleh pekerja yang mengamalkan langkah-langkah keselamatan terhadap penyebaran virus, iaitu dengan memakai topeng muka dan sarung tangan.
- Pembasmian kuman perlu dijadualkan bagi selang masa tertentu ke atas semua bahan dan peralatan di tapak pembinaan. Pembasmian permukaan boleh dilakukan dengan menggunakan bahan sanitizer yang mengandungi 62-71% etanol.
Sebagai kesimpulan, langkah-langkah yang diambil dalam mengawal merebaknya jangkitan COVID-19 dalam kalangan pemain industri pembinaan secara langsung dapat menambahbaik pengurusan projek pembinaan di samping dapat membendung masalah kewangan. Pengurusan projek dapat ditambahbaik dengan amalan penyimpanan dan penyelenggaraan bahan, peralatan, dokumen dan pemfailan yang lebih berkesan.
Keberkesanan pengurusan ditambah dengan penggunaan teknologi 3D dapat mengawal aliran kewangan syarikat dengan lebih baik. Walaubagaimanapun, bagi memastikan langkah-langkah ini dapat dilaksanakan, kerajaan perlu mempertingkatkan capaian internet yang menjangkaui seluruh pelusuk negara, merentas kampung dan bandar. Penyebaran maklumat mengenai risiko jangkitan dan langkah-langkah pengawalan juga perlu sentiasa di war-warkan kepada semua penduduk melalui media sosial dan media massa.
Prof. Dr. Noridah Mohamad
Jamilus Research Center
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM
&
Prof. Madya Dr. Norwati Jamaluddin
Jamilus Research Center
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM
Gambar Ehsan *Google