Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, tidak dinafikan ada golongan yang terkesan antaranya peniaga kecil seperti peniaga gerai, peniaga pasar malam, Makcik Kiah jual Pisang Goreng, peniaga sederhana, pekerja sektor swasta atau pekerja sambilan harian yang tiba-tiba mendapati diri mereka kehilangan sumber pendapatan dalam tempoh yang amat sukar ini.
Sehingga kini perlaksanaan PKP telah melalui fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April menjadikan jumlahnya megambil masa selama 42 hari. Sepanjang tempoh ini pihak kerajaan telah pun mula menyalurkan pelbagai pakej bantuan dan sumbangan untuk meringankan beban. Harapan kerajaan dan pihak berkuasa adalah agar rakyat kekal mematuhi arahan duduk di rumah melainkan keluar hanya untuk membeli bahan keperluan sahaja.
Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN Rakyat, kerajaan memberikan bantuan wang tunai sebanyak RM1600 kepada setiap ketua keluarga di bawah program Bantuan Prihatin Nasional (BPN), termasuklah memanjangkan bantuan ini kepada golongan M40. Menurut Perdana Menteri, pakej rangsangan ini diberikan untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa ada sesiapapun yang tertinggal.
Namun begitu perlu diingat bantuan secara one-off ini adalah sekadar memberikan sedikit kelegaan dari segi kewangan dan juga masa. Justeru itu rakyat perlu mengurus wang masing-masing dengan cara berkhemah memandangkan tempoh penyambungan PKP adalah bergantung kepada situasi penularan wabak pandemik ini.
Mungkin ada hutang-piutang yang perlu dilunaskan atau tunggakan yang perlu dibayar. Hutang rumah, hutang kereta, hutang kad kredit dan perbelanjaan keperluan harian masih perlu dibayar.
Buat yang berniaga pula perlu memikirkan cara bagaimana menguruskan kelangsungan bisnes yang sedia ada, gaji pekerja, sewaan kedai, cukai perniagaan, bayaran lesen termasuklah ingin menghabiskan stok yang masih lagi banyak tidak terjual.
Walaupun PKP tidak diketahui bila akan berakhir, kita tidak boleh duduk berdiam diri sahaja, sesuatu perlu dilakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Cuma lakukannya dengan sebaik mungkin tanpa memudaratkan diri dan menjejaskan kesihatan orang lain selain perlu patuh pada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa yang lain.
Urus wang secara berhemah
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, apabila kerajaan mengumumkan pakej moratorium yang membolehkan semua hutang dengan pihak bank boleh ditangguhkan bayarannya selama enam bulan, maka ianya memberikan sedikit kelegaan sekali gus menghilangkan sedikit kekusutan dan kerisauan. Ramai yang dapat menikmati duit lebihan ini di dalam akaun seolah-olah menerima gaji penuh kerana tiada pemotongan. Pada saat ini jika tidak mampu mengawal nafsu duit yang penuh dalam akaun akan semakin menyusut hilang ‘di hujung jari,’ asbab terpengaruh dengan iklan-iklan atas talian yang menawarkan pakej harga menarik. Jangan tertewas dengan perasaan sendiri kerana dalam tempoh PKP sekarang ini, kita perlulah utamakan keperluan dan bukannya kehendak.
Lakukan sesuatu untuk hasilkan pulangan
Bagi mereka yang mempunyai ilmu pengurusan kewangan lebihan duit selama enam bulan ini bukanlah satu bonus untuk berbelanja secara berlebihan atau membeli impian-impian yang sebelum ini tidak dapat direalisasikan tetapi ianya merupakan satu saat atau tempoh bertenang untuk menyusun semula pengurusan kewangan seperti simpanan, cash-flow, melangsaikan hutang-hutang kecil yang tertunggak, membuat pelaburan yang boleh mendatangkan imbuhan dan manfaat seperti memulakan satu bisnes dari rumah.
Ini kerana seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri selepas fasa PKP ini kita akan melalui satu kehidupan yang berbeza luar dari kebiasaan iaitu ‘The New Normal’ di mana lifestyle selepas PKP tidak akan sama seperti yang sebelumnya. Maka di sini kita perlu bersiap sedia dalam menghadapi apa jua kemungkinan antaranya persediaan dari sudut kewangan dan ekonomi.
Lihat peluang bina pendapatan semasa PKP
Disini penulis kongsikan antara peluang-peluang menjana pendapatan dari rumah dan bisnes yang boleh dilakukan ketika tempoh PKP yang mungkin ianya boleh diteruskan selepas fasa PKP.
- Jualan kuih-muih, biskut dan roti, menu sarapan pagi, nasi berlauk dari rumah
Peluang untuk suri rumah atau yang ada kemahiran memasak untuk menjana pendapatan dari rumah sewaktu PKP dilaksanakan. Permintaan menjadi tinggi kerana ada sesetengah tempat menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan roti dan kuih-muih serta masakan berlauk disebabkan banyak restoran dan kedai ditutup pada ketika ini. Bagi mereka yang pertama kali memulakan perniagaan secara atas talian, anda boleh tularkan bisnes anda menerusi laman media sosial seperti Facebook, Instagram, YouTube dan WhatsApps yang menyediakan platform pengiklanan secara percuma .
Selain itu anda boleh daftarkan bisnes anda di platform penghantar barang atau makanan yang berdekatan dengan kawasan anda seperti foodpanda, GrabFood, Halo food delivery, dahmakan dan HappyFresh untuk pengiklanan dan penghantaran ke rumah. Ini kerana khidmat penghantaran makanan seperti ini juga semakin mendapat permintaan yang sangat tinggi.
- Buka kedai Online dengan Shopee
Shopee adalah marketplace, jadi bila dikatakan marketplace bermakna ramai orang akan mencari di sini. Trafik Shopee juga agak tinggi. Syaratnya adalah produk anda mesti banyak! Kalau produk hanya ada satu unit sahaja sukar orang hendak percaya sebab kita dilihat seperti tidak serius menjual.
Produk tidak terjual di kedai fizikal anda? Gunakan kesempatan ini untuk bina sebuah kedai online anda di Shopee. Tiada sebarang yuran dikenakan kepada anda untuk mula berniaga di sini. Apa yang diperlukan adalah pengetahuan dan cara hendak mula berniaga. Untuk itu, anda boleh gunakan panduan ini sebagai bantu mula- Panduan Shopee Percuma
- Jual produk di Lazada
Lazada telah wujud sejak tahun 2012 dan kini merupakan sebuah platform marketplace yang terbesar di Asia! Lazada adalah merupakan sebuah lagi “lubuk emas” kepada peniaga-peniaga online.
Pihak Lazada sendiri menyatakan, jualan online kini meningkat secara mendadak, bukan sahaja bagi barangan dapur, face mask atau hand sanitizier, tetapi barangan lain seperti makanan, barangan penjagaan diri serta aksesori komputer yang mula meningkat naik kesan tuntutan bekerja dari rumah.
Ditambah dengan promosi-promosi yang sering dilakukan di televisyen, suratkhabar serta di media-media massa yang lain! Lazada kini menjadi sebuah website yang paling dipercayai oleh orang ramai untuk membeli-belah secara online.
Anda boleh mulakan sekarang, malah pihak Lazada juga sering mengeluarkan iklan di media sosial untuk anda mula menjual barang di Lazada. Jika tak pasti bagaimana hendak mula, saya syorkan anda dapatkan ebook ini sebagai panduan – Bisnes di Lazada
- Buat bisnes dropship online
Bisnes dropship memang best terutamanya kalau anda baru hendak mula cari side income di internet. Sebab dalam masa tidak sampai sehari pun, anda sudah boleh ada satu bisnes online yang berpotensi. Ramai usahawan online yang telah menjana ratusan ribu ringgit dengan model bisnes dropship online sahaja. Walaupun simple, tapi ia tetap memerlukan usaha, komitmen dan dedikasi yang tinggi untuk menjayakannya.
Modalnya hanya perlu ada smartphone dan internet sahaja. Ia merupakan satu jenis perniagaan yang tidak memerlukan anda untuk menguruskan stok, membuat penghantaran dan senang kata tidak perlu fikir segala urusan yang berkaitan dengan barang secara langsung. Semua itu akan diuruskan oleh pihak pengeluar, pihak ketiga atau dropshipper (pembekal) yang memberikan perkhidmatan tersebut.
Konsep bisnes dropship ini, anda akan menerima tempahan dan bayaran daripada pelanggan. Selepas itu, anda akan membuat tempahan dan bayaran kepada pihak dropshipper pula dan mereka akan membuat penghantaran barang terus ke pelanggan anda. Sekiranya berminat anda boleh lihat-Panduan Mudah Mula Bisnes Dropship Online (Edisi 2020).
- Buat servis Runner
Jadi servis runner ini menjadi semakin popular dan semakin mendapat permintaan yang tinggi ketika ini. Sekali pandang, ianya sama seperti posmen atau ‘Mat despatch,’ tetapi servis runner menerima upah mengikut bilangan servis yang dilakukan dan tidak tertakluk kepada penghantaran barang atau makanan sahaja. Kebanyakkan runner mengenakan caj mengikut jarak penghantaran.
Servis ini sudah semakin meluas apatah lagi ketika PKP bila semua orang tidak boleh keluar rumah, runner akan tolong belikan makanan yang dipesan dan hantar ke pintu rumah, hantarkan bungkusan dikaunter pengeposan, bantu membelikan barang keperluan dapur dan bermacam-macam servis lagi. Antara contoh
Grabfood, Dahmakan, Honestbee dan Food Panda adalah antara syarikat servis delivery yang popular sekarang, dan mereka sentiasa mengalu-alukan individu-individu untuk menjadi runner penghantaran makanan mereka.
- Jual pakaian secara Online
Menjual barangan secara online sudah menjadi trend pada masa kini. Sama ada menjual di laman web sendiri ataupun menumpang di laman web orang lain seperti Shopee dan Lazada.
Jika anda ada banyak stok baju tidak terjual di kedai, jangan biarkan ia menjadi lusuh begitu sahaja. Belajar cara bagaimana nak menjualnya secara atas talian, ada banyak webminar dan kelas online yang berkaitan dengan perniagaan atas talian yang boleh membantu anda untuk mula melakukannya.
Di waktu serba mencabar dengan pelbagai kekangan ini, kita perlu membuat persediaan rapi agar tidak menghadapi masalah seperti kekurangan aliran tunai ‘cash flow’ kerana kita belum pernah ada pengalaman menghadapi krisis sebegini sebelum ini. Bagi mereka yang bekerja makan gaji, teruskanlah kerja dengan sebaiknya tetapi anda perlu bijak menguruskan kewangan sebagai persediaan menghadapi apa jua kemungkinan seperti pemotongan elaun atau insentif dalam menangani cabaran Covid-19. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada semua.
Prof. Madya Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad
Ketua Jabatan (Komunikasi Korporat)
Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, UTHM
*gambar ehsan google