Sebut sahaja ubat pasti ramai terbayangkan kapsul, pil dan doktor. Hanya segelintir dalam kalangan kita yang melihat senaman sebagai fungsi ubat yang mampu mengubati penyakit. Senaman adalah satu bentuk pergerakan atau riadah yang dilakukan dalam jangka masa tertentu dan berulang kali yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan individu. Selain itu, senaman juga merupakan ubat yang mujarab bagi merawat dan mengawal penyakit. Samalah konsepnya dengan ubat yang biasa kita gunakan. Bagi mendapatkan kesan yang baik, ianya perlu dilakukan mengikut dos yang diperlukan. Dalam hal ini, ilmu juga sangat penting bagi mengelakkan diri terdedah kepada kecederaan seterusnya menghasilkan kualiti dan kesan yang terbaik.
- Ubat Kuatkan Jantung
Bagi membantu menguatkan jantung, individu boleh melakukan aktiviti-aktiviti jenis aerobik seperti berjalan, berlari, berenang dan berbasikal. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu untuk menguatkan jantung kerana jantung perlu bekerja untuk mengepam lebih banyak darah ke seluruh badan. Juga dicadangkan agar aktiviti dilakukan dalam jumlah 150 hingga 200 minit seminggu. Jika dipecahkan kepada hari, kita hanya perlu memperuntukkan 30 minit sehari bagi 5 kali sesi senaman mengikut kelapangan dan keselesaan diri.
- Ubat Kuat Mujarab
Latihan bebanan mampu menjadi ubat yang paling mujarab bagi membina kekuatan. Dos yang dicadangkan adalah 2 hingga 3 kali seminggu dengan intensiti sederhana. Eloklah dilakukan sebanyak 3 set dengan 12 kali ulangan. Kebaikan latihan bebanan ini mampu meningkatkan dan menguatkan jisim-jisim otot dan tulang. Kekuatan otot ini juga mampu mengurangkan risiko kecederaan, mengurangkan risiko osteoporosis seterusnya meningkatkan kualiti tugas seharian kita.
- Ubat Sakit Sendi dan Saraf
Melakukan senaman regangan merupakan penawar bagi sakit ini. Senaman regangan ini penting kerana ianya dapat meningkatkan fleksibiliti badan kita dan mengelakkan otot-otot menjadi tegang seterusnya menghasilkan pergerakan yang baik terhadap tubuh badan kita. Sebagai contoh, kita dapat menunaikan rukun solat dengan baik seperti rukuk dan sujud. Lakukan senaman regangan ini dalam kiraan 20 hingga 30 saat sebanyak 3 set dengan memberikan fokus kepada otot-otot utama. Bagi mendapatkan nilai tambah melalui amalan ini, ada baiknya kita melakukannya sambil berzikir. Sihat dapat, pahala pun dapat!
- Ubat Kurus
Dengar sahaja perkataan kurus pasti ramai yang teruja. Namun, tidak ramai yang mampu untuk memperjuangkan hasrat untuk kurus kerana inginkan kesan yang cepat. Kebanyakan masyarakat kita lebih percaya kepada produk-produk kurus yang ditawarkan di pasaran yang kononnya menjanjikan kesan yang cepat seawal tujuh hari pengambilan. Parah! Inilah laluan yang memberikan kerosakan terhadap fungsi organ tubuh badan kita. Cara yang percuma, jarang-jarang ada peminatnya. Bagi resepi kejayaan untuk mendapatkan berat badan unggul, pemakanan dan senaman memainkan peranan utama. Amalan pemakanan yang paling mudah tanpa perlu mengira kalori ialah konsep ‘suku suku separuh.’ Isikan suku pinggan dengan makanan daripada sumber protein seperti ikan, ayam dan lain-lain. Suku pinggan lagi diisikan makanan daripada sumber karbohidrat seperti nasi dan separuh pinggan pula diisikan dengan buah dan sayur. Seringkali juga kita dengar, “senam tapi tak kurus-kurus pun”. Ingat! Senaman perlulah disusuli dengan tabiat pemakanan yang betul.
Tiada perkara yang mustahil dalam hidup ini selagi mana disertakan dengan usaha. Ambillah peluang sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini untuk kita membina gaya hidup sihat bersama dengan keluarga. Mulalah bersenam dengan melakukan gerakan-gerakan yang mudah dahulu. Amalkan konsep ansur maju dalam setiap aktiviti yang kita lakukan. Kejayaan yang terhasil daripada gaya hidup sihat ini mampu menyelamatkan poket dan tabungan kita dari terjerat dengan kos perubatan yang tinggi.
Oleh Farhawahidah Ahmad Puad
Pusat Sukan Universiti, UTHM