Dalam kehidupan seharian, manusia sangat bergantung kepada alam sekitar dan amat sukar untuk menyatakan bahawa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan manusia tidak bergantung sepenuhnya kepada kemampanan alam sekitar. Hal ini kerana alam sekitar yang mampan mampu menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada manusia, termasuklah suasana yang menjamin kesejahteraan kesihatan.
Keselamatan dan kesihatan persekitaran dan manusia boleh terganggu apabila alam sekitar mengalami kemerosotan, terutamanya akibat aktiviti pembangunan yang dilaksanakan oleh manusia. Sebahagian besar daripada gangguan keselamatan dan kesihatan tersebut berpunca daripada keadaan alam sekitar yang mengalami perubahan, misalnya udara yang tercemar, sampah sarap, bahan buangan toksik dan berbahaya, racun makhluk perosak, penggunaan baja sintetik, hingar dan sebagainya.
Keselamatan dan kesihatan persekitaran adalah berkaitan dengan kualiti alam sekitar. Sejak kebelakangan ini rekod kualiti alam sekitar di Malaysia menunjukkan kemerosotan dari aspek kualiti air, udara, sampah sarap tanah dan sebagainya. Menurut Profesor Datuk Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, sebanyak 25 batang sungai di Malaysia telah dilaporkan tercemar. Negeri Johor mencatatkan kadar pencemaran air sungai yang paling tinggi, diikuti Pulau Pinang dan Melaka.
Selain itu kualiti udara negara turut terjejas ekoran pencemaran udara yang berpunca daripada hingar serta asap, habuk, debu dan terkini koronavirus yang boleh tersebar melalui udara (pernafasan). Kita tidak menyangkal bahawa pembangunan yang pesat dari aspek ekonomi dalam pelbagai bidang umpamanya dari sektor perindustrian, pembinaan, perkilangan, pelaburan, pertanian dan lain-lain pembangunan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun dalam masa yang sama turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti alam sekitar.
Pada hari ini, tanpa kita sedari hubungan di antara kesihatan dan keselamatan, terutamanya bagi masyarakat di bandar kian terancam. Pencemaran alam sekitar umpamanya kualiti udara di bandar bukan sahaja dalam konteks asap, habuk, gas karbon dioksida, monoksida, metana dan sebagainya bahkan udara sudah tidak selamat lagi apabila ianya mengandungi virus dan kuman yang boleh menyebarkan penyakit melalui pernafasan, sentuhan atau pendedahan secara langsung.
Dalam masa yang terdekat ini, seluruh dunia berada dalam keadaan “cemas” apabila penyebaran virus (Koronavirus) yang dikatakan berpunca dari wilayah Wuyan,China boleh tersebar melalui udara (pernafasan), cecair atau hubungan langsung. Keadaan ini telah menyebabkan masyarakat bandar terutamanya yang menerima kedatangan pelancong dari negara China yang dijangkiti terpaksa menggunakan mask bagi melindungi diri mereka dari dijangkiti virus tersebut. Penularan virus tersebut yang menjangkiti manusia dikatakan semakin meningkat sehingga melibatkan 32 negara.
Penyebaran virus melalui udara menunjukkan bahawa alam sekitar fizikal iaitu udara kita tidak lagi selamat kepada manusia. Contoh ini menunjukkan bagaimana hubungan di antara masalah kesihatan telah mengancam keselamatan manusia. Ini kerana bencana koronavirus boleh membawa kematian. Sebagai contoh angka kematian koronavirus di wilayah Hubei, China melonjak kepada 425 dengan lebih 20,000 kes positif dilaporkan (setakat 4 Februari 2020).
Manakala dalam perkembangan terbaharu, portal berita South China Morning Post (SCMP) menyatakan sebanyak 64 kematian dicatatkan di China sejak 3 Februari 2020, menjadikan ia rekod kematian tertinggi dalam satu hari. Filipina turut mencatatkan satu kes kematian akibat jangkitan virus ini.
Bahkan bagi mengawal keselamatan penduduk, China telah mengeluarkan perintah kuarantin dan larangan perjalanan sehingga menyebabkan 56 juta warganya berdepan kesukaran ketika ingin membuat perjalanan, khususnya pada perayaan Tahun Baharu Cina. Manakala rekod setakat 25 Februari 2020 pula mencatatkan peningkatan jangkitan dan kematian. Kematian keseluruhan adalah 2,704 orang. Jumlah kes keseluruhan adalah sebanyak 80,248 orang.
Angka ini amat membimbangkan dunia dan terdapat beberapa negara yang telah menyekat rakyat mereka berkunjung ke negara-negara yang berisiko dijangkiti virus ini. Keadaan alam sekitar yang dibincangkan seperti di atas merupakan bencana alam sekitar yang telah mengesani manusia dari aspek kesihatan dan keselamatan
Selain itu pertambahan jumlah penduduk di Malaysia turut menyumbang kepada peningkatan penjanaan sampah-sarap terutama di kawasan bandar. Pertambahan yang berlaku memberi impak yang besar kepada sosial, ekonomi dan persekitaran. Dianggarkan jumalah sampah yang dijana setiap hari secara purata bagi seorang individu di bandar adalah 1.8 kg/hari (2018).
Meskipun pertambahan penduduk semakin meningkat, namun usaha yang dilakukan oleh pihak berwajib dalam menguruskan sampah sarap secara efektif masih lagi tidak berkesan.Pengurusan sampah sarap yang tidak efektif nyata mengundang kepada kesan pencemaran alam sekitar dan menjejaskan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan hidup masyarakat.
Bencana alam sekitar merupakan salah satu tindak balas alam sekitar kepada manusia dan persekitaran akibat daripada pencemaran aktiviti manusia yang melampaui batas seperti melakukan pembuangan atau pelepasan sisa sama ada cecair, gas atau pepejal secara tidak terawat ke persekitaran. Secara semula jadi, alam sekitar boleh menyerap pencemaran jika kuantitinya adalah sedikit. Namun, jika pencemaran itu adalah melampaui batas atau secara berlebihan, alam sekitar itu sendiri akan bertindak balas dengan cara memulangkan semula bencana kepada manusia dan persekitaran.
Selain daripada udara yang tercemar dan masalah sampah sarap, masyarakat di bandar juga berisiko dan terdedah kepada pencemaran air. Pencemaran air sungai yang berlaku di Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang, Johor, pencemaran di Sungai Bertam, Tanjung Malim, Perak dan pencemaran air yang menyebabkan kematian orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang. Tragedi ini merupakan antara bencana yang paling teruk yang pernah dilaporkan di Malaysia kerana melibatkan kecedaraan fizikal dan kematian. Tragedi pencemaran sungai yang berlaku di Pasir Gudang, Johor wajar menjadi pengajaran yang hebat kepada semua masyarakat, orang awam, swasta dan kerajaan dalam mendepani pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan alam sekitar.
Dalam konteks hari ini, masyarakat perlu diberi kesedaran akan pentingnya kesihatan persekitaran mereka. Alam sekitar yang terjejas bukan sahaja boleh mendatangkan kemerosotan kualiti alam sekitar bahkan boleh mengundangkan bahaya kepada kehidupan manusia. Kita tidak nafikan keselamatan dari jenayah itu penting, tetapi sehingga hari ini keselamatan berkaitan alam sekitar turut menambahkan lagi ancaman keselamatan kepada penduduk di bandar.
Pendidikan, kesedaran dan keprihatinan masyarakat bandar terhadap persekitaran mereka perlu dipertingkatkan. Ini kerana kemerosotan kualiti alam sekitar akan mengancam kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Isu keselamatan persekitaran perlu ditangani secara bijaksana kerana dibimbangi perkara yang sama akan berulang dan terus berulang. Sementara yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak berdosa. Kita tidak boleh berkompromi dengan keuntungan apabila melibatkan keselamatan, kesihatan dan nyawa manusia.
Artikel Oleh:
Profesor Madya Dr. Haryati Shafii,
Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan,UTHM.