PAGOH, 5 Jan – Bagi meraikan para pelajar tahun akhir program Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan (4BWW), panel Bidang Sumber Semulajadi, Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan majlis Makan Malam Penghargaan Kepelbagaian Biologi 2019/2020 pada 19 Disember 2019 lalu bertempat di Foyer Blok A1, UTHM kampus Pagoh, Muar.
Majlis yang berkonsepkan makan malam ini diketuai oleh Pengarah Program, Muhammad Shawal Shafiee dan dibantu oleh barisan ahli jawatankuasa yang majoritinya terdiri daripada para pelajar tahun satu program 1BWW.
Selain meraikan para pelajar tahun akhir sebelum mereka meninggalkan kampus untuk menjalani latihan industri, penganjuran majlis tersebut juga bagi meraikan lapan pelajar tahun tiga dari Fakultas Biologi, Universitas Gadjah Mada (UGM), Jogjakarta, Indonesia yang bakal mengakhiri program pertukaran pelajar (Mobiliti Berkredit Inbound) yang dikendalikan oleh Panel Bidang Sumber Semulajadi.
Dekan FAST, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa turut hadir bagi menyempurnakan majlis. Hadir sama, Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) FAST, Dr. Hamizah Mohd Safuan serta para pensyarah Panel Bidang Sumber Semulajadi termasuklah penasihat program majlis Makan Malam Penghargaan Kepelbagaian Biologi 2019/2020 iaitu Ts. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin.
Majlis dimeriahkan lagi dengan beberapa persembahan daripada para pelajar program tersebut dengan menonjolkan bakat-bakat istimewa mereka dalam bidang seni suara, seni tarian, seni mempertahankan diri serta beberapa kemahiran lain.
FAST khususnya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun berikutnya dan dapat dijadikan sebagai salah satu usaha memperkukuhkan lagi hubungan baik yang telah sedia terjalin antara UTHM dan UGM melalui program Mobiliti Berkredit Inbound.