Bagi membentuk kerjasama dalam perkongsian teknologi dan globalisasi sistem pendidikan negara Jepun, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara lima institusi pendidikan yang menyertai ‘Sakura Science Exchange Programme’ anjuran dan tajaan Japan Science and Technology Agency (JST).
Program ini dianjurkan dengan matlamat untuk menwujudkan peluang kerjasama dalam penyelidikan serta mengukuhkan hubungan erat antara negara Jepun dengan negara-negara lain termasuklah Malaysia.
Untuk penganjuran kali ini, Nagoya Institute of Technology (NITech) telah menjadi tuan rumah bagi program ini dan telah menjemput empat universiti dari Asean iaitu UTHM yang melibatkan empat pelajar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tiga pelajar, Vietnam National University (VNU) dua pelajar dan National University of Laos (NUOL) melibatkan seorang pelajar.
Idea program Sakura Science ini telah dicetuskan oleh Professor Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din dari UTM yang memainkan peranan sebagai penasihat utama bersama dengan Dr. Mitsuhiro Honda, wakil NITech selaku universiti penganjur.
Rombongan program mobiliti antarabangsa ini diketuai oleh pensyarah pembimbing, iaitu Ts. Dr. Nickholas Anting Anak Guntor dari UTHM dan Dr. Nor Eliza Alias dari UTM. Selain itu Dr. Pham Thi Hoa pula wakil dari VNU dan Oulavanh Sinsamphanh dari NUOL juga turut terlibat secara langsung dalam perlaksanaan program ini.
Program Sakura Science Exchange yang bertemakan “Nanotechnology in Advance Environmental Materials” ini berlangsung selama enam hari bermula pada 21 hingga 26 Oktober lalu. Antara pengisian program adalah pelajar berpeluang untuk menjalankan ujikaji seperti spectrophotometry untuk mengukur kadar serapan cahaya oleh nano titanium dioxide, pencirian nano titanium dioxide mengunakan scanning electron microscope (SEM) dan photocatalytic dengan methylene blue.
Selepas selesai ujikaji di makmal, pelajar turut diberi peluang untuk membentangkan hasil dapatan daripada eksperimen yang telah dijalankan secara individu dan berkumpulan. Ianya merupakan satu pengalaman yang bermakna bagi para peserta selain dapat mempelajari ilmu berkaitan dengan nanoteknologi.
Satu sesi perbincangan juga telah diadakan untuk menentukan hala tuju selepas program ini, yang mana wakil universiti terlibat bersetuju untuk bekerjasama membentuk satu konsortium nanoteknologi yang akan berpangkalan di UTHM. Kerjasama antarabangsa ini melibatkan kolaborasi lima universiti iaitu NITech–UTHM–UTM–VNU–NUOL.
Pembentukan konsortium ini dijangka dapat membentuk satu kerjasama padu di antara universiti yang terlibat dalam bidang penyelidikan berkaitan dengan aplikasi nanoteknologi.