BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menzahirkan keprihatinannya kepada masyarakat dengan membina laluan alternatif dari Taman Universiti, Parit Raja ke Masjid Sultan Ibrahim yang bertempat di kampus induk.
Pembinaan laluan alternatif di bawah projek Wakaf Prasarana ini dilaksanakan bertujuan memudahkan penduduk setempat dan juga warga UTHM untuk ke Masjid Sultan Ibrahim bagi menunaikan solat dan mengikuti aktiviti keagamaan yang dianjurkan. Pelaksanaan projek ini juga adalah sebagai tanda keprihatinan UTHM dalam memastikan keperluan masyarakat yang ingin menunaikan ibadah di masjid tersebut dapat dipenuhi.
Projek yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM351,000 ini akan melibatkan kerja-kerja infrastruktur seperti memampatkan tanah, merata dan melebarkan jalan termasuklah kerja-kerja pembinaan pos pengawal keselamatan untuk kawasan parkir di sekitar masjid.
Upacara Pecah Tanah ini telah disempurnakan oleh Dato’ (Dr.) Hj. Nooh Gadot, Ahli Lembaga Pengarah Universiti merangkap Penasihat Wakaf UTHM pada 28 Julai lalu. Upacara tersebut turut disaksikan oleh Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM dan Encik Adzlan Hj. Raju, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Sri Gading.
Menurut Hj. Nooh Gadot, projek wakaf ini merupakan satu ibadah mulia yang menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada umat Islam. Selain sebagai sedekah jariah untuk bekalan akhirat, pelaksanaan projek ini juga akan memudahkan masyarakat untuk pergi menunaikan solat di masjid.
“Saya berharap projek ini dapat dijalankan dengan telus dan mematuhi masa yang ditetapkan bagi memudahkan masyarakat setempat menunaikan ibadah tanpa perlu melalui jalan utama yang agak sibuk dan berisiko tinggi,” tambahnya lagi.
Hadir sama ke upacara tersebut, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Abd Karim, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat), Profesor Sr. Dr. Wan Zahari Wan Yusoff, Pengarah Pusat Endowmen dan Wakaf UTHM, warga kampus serta penduduk Taman Universiti.