CHINA – Bagi memartabatkan lagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membina jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi antarabangsa bagi membina pakatan untuk merangka gerak kerja dan pelan strategik dalam kalangan institusi yang terlibat.

Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat tersebut ialah dengan menganjurkan ASIA TVET EXPERTS FORUM (ATEF) buat kali ketiga pada 26 dan 27 April lalu dengan memilih Ningbo Polytechnic, China sebagai lokasi untuk berkumpul dan membincangkan isu-isu semasa dan penyelesaian masalah dalam TVET bagi menghadapi perubahan dan cabaran global.

Memetik kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebelum ini, terdapat beberapa institut latihan vokasional dari China mula menawarkan lebih banyak biasiswa dan tempat bagi rakyat Malaysia mengikuti latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara tersebut.

Tambah beliau lagi, dalam menyediakan graduan untuk industri antarabangsa terdapat beberapa pihak turut menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia bagi mengikuti latihan di China.

Atas dasar tersebut, UTHM mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama antarabangsa dengan negara China melalui penubuhan UTHM–Ningbo TVET Center yang bertempat di Ningbo Polytechnic.

Penubuhan UTHM-Ningbo TVET Center ini adalah yang pertama di rantau asia dan bakal menjadi pintu masuk kepada institusi lain dari kedua-dua buah negara khususnya dalam bidang TVET untuk menjalinkan kerjasama pada masa akan datang. Selain itu, pusat TVET ini juga dilihat berpotensi untuk menjadi institusi TVET di Malaysia untuk menarik pelajar antarabangsa khususnya dari China untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di UTHM, termasuk di Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV).

Penganjuran ATEF 2019 ini merupakan salah satu bentuk kerjasama antarabangsa antara UTHM-Ningbo Polytechnic selepas penubuhan UTHM-Ningbo TVET Center di sana.

Forum ini juga menjadi platform bagi ahli untuk berkongsi amalan terbaik dan belajar dari satu sama lain. Rangkaian dan pakatan yang terhasil akan membantu dalam penyelesaian impak yang tinggi yang berkaitan dengan isu TVET. Selain itu, ia akan membantu dalam mengenal pasti isu dan peluang bersama bagi penyelidikan TVET, yang akan memperkukuh lagi peranan dan perkaitan universiti dalam memajukan TVET.

Objektif utama forum ini adalah untuk mewujudkan Rangkaian Pakar TVET Asia yang akan berfungsi sebagai persatuan untuk menghubungkan semua pakar TVET, khususnya di rantau Asia. Badan bersama ini akan bertemu dari semasa ke semasa untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan TVET dalam pendidikan tinggi, serta terlibat dalam mendapatkan / menawarkan geran penyelidikan dan perundingan untuk projek-projek berkaitan TVET.

Persidangan kali ketiga ini membariskan pengucaptama yang diwakili oleh Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM; Profesor Zhu Xingde, Pengarah Pusat Penyelidikan Akademik dan Perundingan Shanghai Academy of Educational Sciences-SAES, China serta Ms. Chen Xiyu, Pengurus Syarikat Zhejiang Qiushi Science and Education Equipment, China.

ATEF 2019 melibatkan dua sesi forum iaitu forum pertama bertemakan “Public-Private Partnership in TVET” dan forum kedua “Contribution of Belt and Road Initiative to Strengthen Regional TVET Development.” Antara ahli panel yang terlibat Profesor Wang Jinliang, Presiden Shandong Maritime Vocational College, China; Mr. Tan Siang Guan, Pengarah Urusan GOTT Sdn Bhd, Malaysia; Profesor Dr. Arham Abdullah, Pengarah Jabatan Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Malaysia; Profesor G.L.D. Wickramasinghe, Naib Canselor University of Vocational Technology, Sri Lanka; Dr. Ramhari Lamichhanne, Pengarah Urusan Colombo Plan Staff College, Filipina dan Profesor Dr. Zhang Huibo Presiden Ningbo Polytechnic, China.

Forum kali ini menerima kehadiran lebih 100 orang pakar dan pengamal TVET dari negara seperti Bangladesh, Cambodia, China, Philippines, Sri Lanka, Ghana, Malaysia.  Majlis perasmian UTHM–Ningbo TVET Center yang diadakan pada 27 April telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM disaksikan oleh Presiden Ningbo Polytechnic.

Maklumat lanjut layari laman web http://atef.uthm.edu.my