Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima lawatan akademik dari pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) pada 8 April lalu.
Program yang disertai oleh 30 orang pelajar bersama seorang pegawai pengiring, Hisyamuddin Mohd Yusof bertujuan untuk bertukar idea dan pandangan berkaitan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan pelajar universiti dan kolej.
Selain itu,lawatan ini juga untuk berkongsi ilmu berkaitan pembelajaran bahasa Arab atas talian, kepentingan bahasa Arab selain turut berkongsi tentang peluang untuk melanjutkan pelajaran oleh pihak Pusat Pembangunan Akademik, UTHM.
Para pelajar KIAS juga diberi peluang melawat beberapa kawasan universiti termasuk perpustakaan dan makmal Pusat Pengajian Bahasa bagi mengenali universiti ini dengan lebih dekat. Hasil maklumbalas yang diterima, lawatan akademik ini berupaya menarik minat dan semangat para pelajar KIAS untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti suatu hari nanti.
Mengulas tentang keberkesanan program ini, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Dr. Zailin Shah Yusoff berkata lawatan ilmiah seperti ini amat digalakkan kerana di samping dapat bertukar idea dan fikiran, secara tidak langsung ianya mampu memartabatkan ilmu bahasa Arab dalam kalangan pelajar UTHM dan KIAS.
Sementara itu Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa, Nurul Sabrina Zan pula berkata program seumpama ini selain dapat mengeratkan hubungan antara UTHM dan KIAS, ianya dapat memberi memperkenalkan UTHM kepada masyarakat umum khususnya di luar negeri Johor.
“Pertukaran dan perkongsian pendapat serta buah fikiran tentang bahasa Arab ini juga sangat membantu kedua-dua pihak iaitu UTHM dan KIAS menambahbaik proses pengajaran dan pembelajaran sedia ada,” tambahnya lagi.