Prihatin dengan kedaifan masyarakat Islam Kemboja, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PENTAS) dan Pusat Islam telah menyumbang 30 unit telaga untuk kegunaan penduduk di dua kampung, Wilayah Tralach, Kemboja.
Sumbangan telaga tersebut bertujuan mengatasi masalah kekurangan sumber air bersih yang sekian lama membelenggu beberapa kawasan di wilayah itu.
Seramai 120 orang fakir miskin turut terpilih untuk menerima sumbangan berupa makanan, pakaian dan wang tunai. Manakala sumbangan 80 set lampu solar turut diberikan untuk kemudahan dan kegunaan penduduk kampung.
Projek kesukarelawan ‘Kembara Wakaf Kemboja 2019’ yang dilaksanakan pada 22 hingga 24 Februari lalu diwakili oleh empat orang sukarelawan PENTAS bersama 11 orang penduduk kampung sekitar Parit Raja.
Menurut ketua kembara, Shafry Salim bantuan misi kemanusiaan ini merupakan hasil sumbangan ikhlas daripada warga UTHM dan individu persendirian.
“Sepanjang tiga hari di sana, pihak kami juga menziarahi golongan asnaf dan beramah mesra dari rumah ke rumah, sambil mengedarkan makanan ringan serta memberi taklimat santai berkaitan penjagaan kesihatan dan kebersihan kepada anak-anak kecil.
“Selain itu, pihak kami juga turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, beras, telekung, sejadah, kain pelikat, kopiah dan minyak wangi secara terus kepada penduduk di kedua-dua kampung terbabit. Bantuan seumpama ini memberi kegembiraan kepada mereka,” katanya.
UTHM juga turut menyumbang seekor lembu untuk dijadikan jamuan penduduk kampung. Penyediaan makanan hasil sembelihan tersebut dibuat secara bergotong royong bagi merapatkan lagi ukhwah persaudaraan yang terjalin.
“Walaupun ibadah korban di kampung berkenaan ada dilaksanakan sebelum ini oleh pihak luar, namun suasana tersebut cukup berlainan dengan kerjasama sukarelawan, peserta program dan penduduk kampung,” tambahnya lagi.