Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Kebudayaan menganjurkan Festival Tari dan Teknologi Asia 2019 buat kali kedua yang berlangsung pada 20 hingga 23 April lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, kampus induk.
Penganjuran festival penuh warna warni ini mendapat sambutan yang luar biasa dari warga kampus dan komuniti setempat apabila ramai penonton hadir memenuhi dewan ketika berlangsungnya malam persembahan.
Festival Tari Dan Teknologi Asia 2019 yang bertemakan ‘Kejuruteraan dan Teknologi Bersatu dalam Gerak’ ini melibatkan para peserta dari negara Asia seperti Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura dan Malaysia.
Para pesertanya terdiri daripada kumpulan Sanggar Seni Mutiara Minang Padangpanjang Indonesia, Arbii Dance Company Aceh Indonesia, IPH Dans Lab Medan Indonesia, Ali Sukri Theatre Padangpanjang Indonesia, Komunitas Simidasu Production Padangpanjang Indonesia, Nanggroe Break Cypherz (NBC) Aceh Indonesia dan Fakulti Tari, Sun Dance Theatre dari Suan Sunandha Rajabhat Universiti Thailand.
Peserta dari Malaysia pula diwakili oleh kumpulan Fakulti Tari Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan ASWARA, manakala UTHM pula diwakili oleh Kumpulan Tun Syed Nasir dan Bistari, Kumpulan Tun Dr. Ismail dan Tun Fatimah serta Kumpulan UTHM Pagoh.
Turut hadir ke festival tersebut Pengarah Pusat Kebudayaan UTHM, Mohd Nizam Attan sekali gus menyempurnakan upacara perasmian yang diadakan pada malam 23 April lalu.
Menurut Pengarah Program, Rosdi Abdullah sepanjang tiga hari festival ini berlangsung para peserta berpeluang mengikuti Bengkel Tarian Johor yang dikendalikan oleh Yayasan Warisan Johor diikuti dengan slot persembahan tarian kreatif yang bertemakan teknologi oleh peserta.
“Festival itu turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi idea persembahan yang telah dipersembahkan dalam Bengkel Tari Teknologi, selain berpeluang menyertai lawatan budaya di sekitar negeri Johor.
Tambahnya lagi festival ini juga dihadiri oleh tiga orang pensyarah tari yang terkenal dalam dunia tari iaitu Norbaizura Abd Ghani dari ASWARA, Dr.Sun dari Thailand dan Bapak Ali Sukri dari Indonesia, Mereka hadir sebagai peserta yang mempersembahkan karya tari masing-masing yang cukup unik dan hebat.
“Pihak kami berharap Festival Tari dan Teknologi Asia 2019 ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang agar para pelajar kejuruteraan dapat mempelajari ilmu jurutera dalam seni persembahan,” katanya.