SENAI – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah menganjurkan program Fly for Heart melibatkan golongan belia termasuklah golongan orang kelainan upaya (OKU) dan belia Orang Asli Suku Kaum Seletar pada 5 Mac lalu bertempat di Wilayah Iskandar Malaysia.
Program yang berlangsung selama empat hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Le Grandeur Palm Resort Johor ini dianjurkan bertujuan memupuk semangat saling bantu membantu dan menyayangi sesama masyarakat di samping menanam nilai-nilai murni dalam pembentukan masyarakat yang harmoni.
Aktiviti utama bagi program ini adalah penerbangan menaiki pesawat ringan Piper PA-28 dan Cessna 172 selama sejam bersama Elite Flying Club mengelilingi Wilayah Iskandar Malaysia. Peluang keemasan seperti ini sangat mampu menarik minat dan galakan kepada golongan belia terbabit untuk menceburi bidang penerbangan.
Turut diadakan, aktiviti indoor di Le Grandeur bertujuan untuk mendedahkan peserta belia Orang Asli kepada pendidikan penerbangan berinteraktif, pengalaman mengendali drone, simulator pesawat kawalan radio dan pertandingan kapal terbang kertas.
Sementara itu, belia OKU pula menyertai permainan Aviation Joy Series seperti Jigsaw Puzzle, Save our Pilot, Pick and Paste serta pertandingan pesawat berhalangan. Aktiviti-aktiviti seperti ini dilihat mampu membantu mengasah minat dan minda golongan ini sekali gus diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka. Modul bagi aktiviti terancang ini telah dibangunkan dengan kerjasama terapis daripada Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Dato’ Senator Isa Ab Hamid, Ahli Dewan Negara hadir menyempurnakan program ini seterusnya melancarkan tabung Fly for Heart bersama artis jemputan Afzan A Rahman dan Said Ismail. Tabung ini dilancarkan sebagai satu inisiatif untuk memastikan keberlangsungan program yang diharap bakal menjadi program tahunan anjuran universiti. Hasil kutipan tabung ini bakal digunakan untuk pembiayaan pendidikan dan juga penganjuran aktiviti penerbangan bagi golongan istimewa.
Menurut Pengarah Program, Dr. Siti Juita Mastura Mohd Saleh yang merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik UTHM, bidang penerbangan merupakan salah satu bidang dalam aeroangkasa yang dikategorikan sebagai eksklusif dan dilihat semakin bersifat terbuka. Namun begitu penganjuran aktiviti yang melibatkan sesetengah golongan terutama dari golongan yang kurang berupaya dan kurang bernasib baik adalah sangat kurang.
Tambahnya lagi penganjuran program ini diharap dapat membantu meningkatkan motivasi golongan terbabit agar mereka rasa lebih dihargai apabila diberi peluang untuk merasai dunia penerbangan sebenar.
“Program yang melibatkan sukarelawan daripada golongan belia ini diharapkan mampu melahirkan belia prihatin selari dengan hasrat Iskandar Malaysia yang digariskan dalam Iskandar Blueprint iaitu bagi melahirkan komuniti yang makmur dan harmoni disokong oleh kemasukan sosial dan perkongsian kekayaan yang saksama,” katanya.
Sementara itu, Dekan FKMP pula berkata program ini juga memberi pengalaman baru kepada belia sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Sejak peringkat awal lagi, sukarelawan tersebut telah terdedah kepada aktiviti yang memberi impak positif dalam hidup mereka sekali gus meningkatkan lagi kesedaran masing-masing untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Secara tidak langsung, program ini dapat melatih kepimpinan dalam diri mereka yang merupakan bakal pemimpin masa depan negara,” katanya.
Fly for Heart ini merupakan program kerjasama antara UTHM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Permai dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Celik PIPI, Persatuan Sindrom Down Johor Bahru serta pihak Terbang dan Teroka iaitu NGO yang terdiri daripada juruterbang dan pramugari profesional.
Kolaborasi ini dijadikan pemangkin dalam menjalinkan hubungan yang berterusan bersama pihak NGO yang terlibat selain dapat membuka jalan dan membina kerjasama yang melangkaui tempoh program ini dilaksanakan.