BATU PAHAT – Bagi menyahut hasrat kerajaan yang inginkan konsep “Sekolah Untuk Komuniti dan Universiti Untuk Masyarakat,” Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Kepimpinan Pengawas melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail (SMKTI) Parit Raja, Batu Pahat di kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 13 dan 14 Februari lalu.
Program khidmat masyarakat empat penjuru yang telah dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Perniagaan (CBD), Jabatan Pengurusan Perniagaan (JPB), FPTP dengan kerjasama Pusat Islam, Pejabat Pendaftar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), serta wakil pelajar Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) UTHM ini berlangsung di Dewan Kuliah 1, FPTP dan Masjid Sultan Ibrahim, kampus induk.
Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dan telah dihadiri oleh seramai 151 orang peserta yang terdiri daripada para pengawas daripada tingkatan dua hingga tingkatan lima serta guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail (STI).
Program ini diisi dengan beberapa aktiviti antaranya perkongsian ilmu slot Kepimpinan yang dikendalikan oleh Zairil Haziq Danial Roselan, Naib Yang di-Pertua II Majlis Perwakilan Pelajar 2018/2019, slot Pengurusan Organisasi dan Keusahawanan oleh Dr. Siti Sarah Omar, pensyarah dari Jabatan Pengurusan Perniagaan (JPB) dan Muhammad Zakwan Abu@Hussin, ahli perniagaan dan pelajar Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA), UTHM. Manakala Slot explorace dan refleksi pula dikendalikan oleh Zainudin Samidun dari Pejabat Pendaftar UTHM dengan bantuan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM, serta wakil pelajar Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) UTHM.
Sementara itu, Pusat Islam UTHM yang diketuai oleh Ustaz Mohd Lotfi Solihan dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Amirulhakim Saparudin pula memberikan sumbangan dari segi pengisian program qiyamullail dan penyediaan ruang untuk para peserta dan pengajar.
Majlis penutup program khidmat masyarakat tersebut telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Profesor Madya Dr Mohd Lizam Mohd Diah.
Beliau dalam ucapannya turut berkongsi hasrat untuk menjadikan STI sebagai Sekolah Angkat FPTP bagi melancarkan lagi proses pemindahan ilmu dan sumbangan dari akademia kepada masyarakat yang dijangka akan memberikan impak yang sangat besar dan bermakna.
Hadir sama Pengetua STI, Tuan Haji Mohd Taat Kasran dan guru-guru; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Dr. Khadijah Md. Ariffin; Ketua CBD, Dr. Umi Kartini Rashid serta pensyarah-pensyarah JPB, FPTP.
Menurut Penyelaras Program, Dr. Siti Sarah program khidmat masyarakat ini diadakan bertujuan untuk memberi khidmat sosial kepada komuniti di sekitar UTHM sekali gus sebagai usaha menjalin hubungan baik antara mahasiswa, pensyarah dan pentadbir universiti dengan penduduk setempat.
Katanya lagi, pelaksanaan program ini juga adalah untuk menyampaikan maklumat dan memupuk tatacara pengurusan kepimpinan yang tepat kepada pengawas-pengawas sekolah ke arah melahirkan individu yang berkualiti serta memupuk sikap proaktif, punyai ciri dan minda keusahawanan dengan gaya kepimpinan yang pragmatik.
Selain itu, objektif program ini juga untuk membantu memberikan keyakinan kepada pelajar-pelajar tentang semangat untuk belajar dan pendedahan suasana di universiti, selain menyemai rasa kebertanggungjawaban pelajar terhadap kehidupan bermasyarakat.
“Program khidmat masyarakat seumpama ini diharap dapat memberi impak positif kepada masyarakat amnya dan warga universiti khususnya dengan keterlibatan yang lebih dekat dengan komuniti, seterusnya merealisasikan “memberi semula apa yang telah diterima” atau what you get you give back, dari masyarakat kepada masyarakat,” tambahnya lagi.