PAGOH – Bagi melabuhkan tirai program pertukaran pelajar melibatkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Jogjakarta, Indonesia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah menganjurkan Malam Tautan Kasih Mesra UTHM-UGM 2018/2019 pada 13 Januari lalu.
Malam Tautan Kasih Mesra UTHM-UGM ini merupakan kemuncak kepada program melibatkan lima pelajar tahun dua program Biodiversiti dan Pemuliharaan, Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, FAST yang menyertai Program Mobiliti Berkredit Outbound dan tiga pelajar tahun tiga dari Fakultas Biologi, Universitas Gadjah Mada (UGM), Jogjakarta, Indonesia yang menyertai Program Mobiliti Berkredit Inbound.
Program pertukaran pelajar ini julung-julung kali diadakan di peringkat fakulti sekali gus berjaya mencipta sejarah sulung program pertukaran pelajar yang dikendalikan Panel Biodiversiti dan Pemuliharaan khususnya dan FAST amnya.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan deklamasi puisi oleh dua tokoh tersohor universiti, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin dan Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed, serta persembahan nyanyian lagu-lagu terpilih oleh pelajar-pelajar Fakultas Biologi UGM yang menyertai program ini.
Turut diadakan nyanyian nasyid lagu “Doa Perpisahan” yang pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid Brothers satu ketika dulu oleh para pelajar tahun dua FAST yang diketuai oleh pengarah program Malam Tautan Kasih Mesra UTHM-UGM 2018/2019 iaitu Mohd Khairil Firdaus Mohd Sahidin dan Dr. Kamarul Rahim Kamarudin.
Hadir sama ke majlis tersebut Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FAST, Profesor Madya Ts. Dr. Hatijah Basri serta Ketua Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, Profesor Madya Dr. Alona Cuevas Linatoc.
Pihak fakulti berharap program pertukaran pelajar ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan dapat dijadikan sebagai salah satu usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara UTHM dan UGM.