Oleh Prof Madya Dr Afandi Ahmad_0

 

 

 

Oleh Prof Madya Dr Afandi Ahmad

PADA 2012, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dipinda bagi membolehkan mahasiswa berpolitik di luar kampus. Terkini dalam menuju pemansuhan AUKU yang dilihat lebih memerlukan masa, pemansuhan Seksyen 15(2)(C) dilakukan, selari dengan pindaan yang terdahulu bagi membolehkan mahasiswa berpolitik di kampus tanpa sekatan.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing telah meluluskan pindaan itu pada 10 Disember dan 20 Disember lalu.

Selari dengan perkara itu, Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 juga dimansuhkan, semuanya terpakai kepada semua universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti serta institut perguruan.

Umum mengetahui bahawa pemansuhan ini dibuat seiring transformasi politik yang dibawa kerajaan Malaysia baharu dalam memperkukuh institusi demokrasi.

Pada masa sama, sudah pasti menguruskan perubahan berkaitan AUKU bukan perkara mudah, apatah lagi setelah sekian lama kita mendengar ‘muzik dan nada’ yang sama.

Perubahan positif

Namun, demi manfaat bersama, beberapa catatan penting berikut perlu diberikan perhatian yang serius untuk dihadam dan kelak diamalkan agar semangat cintakan perubahan yang positif hadir semakin mekar dalam diri masyarakat Malaysia amnya dan mahasiswa khususnya.

Pertama, kebebasan ruang dan peluang berpolitik yang diberikan mesti dikendong ampuh bersama tanggungjawab. Tanggungjawab utama pada bahu mahasiswa adalah untuk lebih memahami politik, parti, kepartian serta kebertanggungjawaban atas setiap inci niat, lisan dan tindakan yang mereka dukung.

Acuan politik yang sering diperbesar-besarkan mengenai perbezaan dan bukannya menghargai perbezaan. Politik semestinya dilihat senjata penting dalam memperteguh semangat cintakan negara dan kebersamaan dalam perbezaan.

Inilah yang menjadikan tugas mahasiswa dengan kebebasan AUKU jauh lebih luas, bukan lagi hanya politik dengan konotasi membangkang dan berdemonstrasi semata-mata tetapi mencari jawapan yang lebih baik daripada itu, menjadi agen timbal balas demi manfaat khalayak.

Jauh lebih malang andai kunci kebebasan ini masih dibelenggu dengan politik mengikut kawan!

Perlu bimbingan

Kedua, sedar atau tidak, dengan perubahan gelombang keterbukaan ini juga menjadikan peranan pihak berkaitan yang secara langsung terbabit dengan mahasiswa, memerlukan lebih penelitian dan hikmah.

Amanah besar kepada barisan Timbalan Naib Canselor/Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan pasukan kepemimpinannya untuk membimbing mahasiswa. Membimbing memerlukan sinergi dalam kalangan warga kampus.

Ekosistem kampus amat perlu dalam usaha memacu pengalaman kampus menyeluruh agar keberadaan mahasiswa di universiti dapat mempersiapkan diri mereka sebaik-baiknya sebelum terjun sebagai ahli masyarakat.

Perlu diingat, bebas berpolitik bukan bermaksud tiada batu sempadan yang menjadi asas teguran dan bimbingan. Dengan budaya kasih sayang, pasti proses bimbingan menjadi lebih dekat di hati.

Ketiga, kebebasan yang diberi mesti diikat kuat bersama belati nilai yang terus jelas kedengaran disebut berulang kali oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, iaitu kegembiraan, kasih sayang, saling menghormati dan manusiawi.

Politik mundur amat jauh dengan semua nilai ini. Apalah erti kebebasan yang diberi andai hanya dipenuhi perasaan iri hati, dendam kesumat, integriti yang mati, kepentingan peribadi dan 1,001 macam lagi simptom politik penuh kebobrokan.

Berbeza pandangan itu pasti, tetapi politik matang pasti akan mencari garis pertemuan untuk saling melengkapi demi kebaikan bersama.

Keempat, universiti adalah mengenai citra kecemerlangan, sementelah kerana kebebasan yang dibuka ini nilai kebitaraan universiti semakin menyepi. Ramai yang begitu bimbang anak pelajar akan leka daripada proses akademik kerana terlalu asyik berpolitik.

Beban pembuktikan kini terletak pada bahu mahasiswa untuk menunjukkan bahawa telahan ini meleset.

Mahasiswa hendaklah semakin cintakan ilmu, terus belajar dan memperbaiki diri untuk maju dalam politik, kemahiran komunikasi, pemikiran strategik, pengurusan risiko, kepintaran emosi, fleksibiliti kognitif dan banyak lagi cabang yang mesti dikuasai.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, inilah masa untuk mahasiswa menampilkan model politik baharu penuh ilmu.

Menerusi rencamnya politik, akan ada lebih banyak isu ditangani bersama kepintaran emosi, maka di sinilah kemahiran penyelesaian masalah yang kompleks akan semakin banyak dapat dipelajari selari dengan keperluan majikan pada hari ini dan masa depan.

Pemimpin masa depan

Kelima, andai pada hari ini ada yang kecewa dengan landskap politik negara, inilah juga masa untuk kita menaruh baki harapan kepada bakal pemimpin masa depan. Kini mereka memulakan langkap politik lebih awal, tapi pastinya dengan penuh rendah diri dan berisi.

Perkayakan ilmu selari dengan hal ehwal akademik, andai tersilap bersedialah untuk ditegur kerana harapan kami agar mahasiswa tidak menuju jalan mundur.

Besar harapan agar keterbukaan membolehkan mereka bertatih dan berlatih mendepani horizon politik dengan penuh ikhlas, dibimbing oleh ekosistem kampus yang penuh keilmuan, kelak setelah keluar dari alam menara gading mereka terus memacu kecemerlangan. Universiti tidak boleh biasa-biasa sahaja kerana di sinilah bakal dilahirkan pemimpin masa depan.

Dalam pada itu, gaya politik hari ini juga jauh berbeza. Politik konvensional dihambat dengan perubahan teknologi yang menjadikan cabaran VUCA (volatility, uncertainty, complexity, ambiguity) terus menunggu di setiap penjuru.

Menjadi keperluan agar gelanggang politik mahasiswa yang terbuka ini diambil lebih banyak langkah persediaan. Teknologi yang kini menjadi sebahagian gaya hidup mahasiswa juga memungkinkan minat mahasiswa lain secara umum terhadap politik, perlu ditangani.

Data sains dan analitik mesti dimanfaatkan bagi membolehkan lebih ramai yang dimatangkan dengan politik berilmu dan penuh santun.

Amat merugikan andai padang yang terbuka luas ini, hanya sebilangan kecil mahu turun bermain, bakinya hanya tukang sorak yang tidak tahu tenggelam punca, leka dalam dunia sendiri.

Jika menang mereka bersorak, jika tewas bersiap sedialah dikatakan anda haprak. Akhirnya, ketika kita mula berjalan tidaklah terus kita berlari dan melompat. Setiap perubahan pasti menimbulkan keresahan.

Setelah sekian lama duduk dengan pintu yang tertutup walau ada yang mencuri-curi keluar dan kini dibuka, pasti terasa deru angin dan rintik air yang menyapa. Itulah perubahan dan pengurusan perubahan. Yang diberi kunci, usah lupa mengenai adab, ilmu dan berkat.

Berpolitiklah dengan penuh syukur dan ikhlas. Peliharalah adab agar kita terus diangkat dan dihormati. Perkayakan ilmu agar kita terus memperbaiki diri agar di hujung lorong kebebasan ini, yang terhidang adalah berkat yang membawa muafakat.

Politik, adab dan ilmu umpama tiga sahabat. Tanpanya, politik tidak akan membawa berkat.

Penulis merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Sumber : Kebebasan AUKU perkasa ilmu, adab