Bagi meningkatkan merit pengantarabangsaan dalam penarafan SETARA, QS Rangking dan MyRA, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Mobiliti Antarabangsa (Inbound) pada 24 November hingga 1 Disember lalu.
Mobiliti ini melibatkan 46 orang pelajar yang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina dari UTHM, 20 pelajar Arsitektur dari Universitas Katolik Parahyangan (UNPAR), Bandung, Indonesia bersama lima pensyarah pengiring serta 20 orang pelajar Diploma Senibina dari Politeknik Merlimau, Melaka bersama 15 orang pensyarah pengiring.
Bertemakan “Architecture Entourage 2018,” program mobiliti kendalian Jabatan Senibina dan Kejuruteraan Reka (JSKR) ini turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuklah Pejabat Antarabangsa UTHM, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM, Politeknik Merlimau, Melaka, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Melaka dan Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM).
Matlamat utama penganjuran program mobiliti ini adalah untuk memberi keutamaan kepada aktiviti khidmat kemasyarakatan, kebudayaan, keusahawanan, penyelidikan dan perpindahan ilmu sebagai pendedahan kepada peserta dalam pelbagai aspek dan bidang.
Program mobiliti ini juga menyaksikan kali pertama FKAAS menerima kunjungan dari pelajar senibina luar negara memandangkan Program Senibina FKAAS baharu sahaja ditawarkan pada September 2017 lalu.
Antara pengisian aktiviti program ini ialah sesi perkongsian ilmu ‘Industrial Talk Series’ bersama pensyarah program Arsitektur dari Fakultas Teknik, UNPAR, Dr. Alwin Suryono dengan tajuk ceramahnya “Conservation of the tradition of Baliness culture in nowadays architecture” dan Ibu Ariani Mandala dengan tajuk “Principles of building physics: building skin and facades design strategies.”
Turut diadakan syarahan umum bertajuk “Site Analysis and Urban Planning in Malaysia” oleh Felo Industri UTHM, Ar Hazri Abdul Aziz selaku “Southern Chapter Representative” Persatuan Arkitek Malaysia (PAM). Platform syarahan ini memberi peluang kepada semua peserta program khususnya pelajar senibina UNPAR untuk mengikuti pembelajaran di samping menimba pengalaman di Malaysia serta mendedahkan mereka kepada sosio-budaya dan persekitaran yang berbeza.
Kemuncak mobiliti ini diisi dengan program Ukhwah Warisan Antarabangsa yang melibatkan kerjasama UTHM bersama Politeknik Merlimau Melaka, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Yayasan Kebajikan Negara di Kampung Morten, Melaka. Para peserta telah diberi pendedahan berkaitan senibina warisan dan aktiviti kebudayaan penduduk setempat.
Selain itu, para peserta juga berpeluang beramah mesra dengan mesyarakat melayu Melaka melalui aktiviti interaktif kraf, mencanting, anyaman ketupat dan bakul, membuat terompah dan replika rumah melayu tradisional Melaka. Mereka juga turut bergotong royong memasak asam pedas dan kuih warisan yang menjadi menu popular negeri tersebut selain mengadakan pelbagai persembahan dan tarian kebudayaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, beliau menyifatkan program ini memberi pengalaman menarik kepada peserta program kerana kecemerlangan akademik semata-mata adalah tidak mencukupi.
“Saya melihat peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat sebagai sentuhan kemanusiaan dan realiti kehidupan yang bakal mereka hadapi apabila bergraduan nanti,” tambahnya lagi.
Sementara itu Ketua Jabatan Senibina dan Kejuruteraan Reka, FKAAS, Dr. Izudinshah Abd Wahab berkata program ini pada asalnya dirancang hanya melibatkan pelajar senibina UNPAR, tetapi dengan kerjasama Politeknik Merlimau dan Kementerian Pelancongan Melaka, maka masyarakat dan penduduk Kampung Morten juga terlibat sama, yang mana ia memberi kesan yang baik kepada pelajar senibina untuk melihat warisan bangunan dan budaya masyarakat di Melaka.
Program mobiliti diakhiri dengan pembentangan terbuka projek Studio Senibina oleh pelajar senibina FKAAS yang diadakan bertujuan untuk berkongsi ilmu, meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan penyampaian maklumat sama ada melalui visual dan lisan, di samping memantapkan lagi semangat keserakanan dalam pembelajaran berasaskan studio yang menjadi amalan dalam bidang senibina.
Hadir sama ke program mobiliti tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Dekan FKAAS, Profesor Madya Ts. Dr. Abd. Halid Abdullah.