Tenaga Nasional Berhad (TNB) menunaikan tanggungjawab korporatnya dengan membiayai 115 pelajar baharu bidang kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di bawah Program My Brighter Future (MyBF). Dermasiswa ini disasarkan kepada siswazah daripada keluarga kurang berkemampuan yang berjaya mencapai impian menjejakkan kaki ke menara gading.
Program penajaan dermasiswa ini adalah bagi pengajian peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Universiti-universiti Awam.
Pemilihan calon penerima dermasiswa adalah berdasarkan data pelajar menerusi Program e-Kasih yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Justeru, hasil kerjasama Yayasan Tenaga Nasional dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, terutamanya Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar atau lebih dikenali sebagai Unit Pusat Universiti (UPU) telah berjaya merealisasikan projek My Brighter Future pada tahun ini.
Salah seorang penerima bantuan dermasiswa ini, Nursyakila Mazmin, pelajar tahun satu program Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) berkongsi perasaan terharu dan bersyukur apabila pertama kali membaca surat tawaran yang diterima sekali gus menyelesaikan kerunsingan keluarganya untuk mendapatkan bantuan pembiayaan bagi menampung kehidupan sepanjang bergelar mahasiswa.
“Sebagai anak seorang petani, saya amat berbesar hati menerima bantuan ini dan berjanji tidak akan mudah lupa diri, malah akan memastikan mendapat keputusan yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam kokurikulum,” kata anak kelima daripada lapan beradik ini.
Manakala seorang lagi penerima, Nuratikah Hisyamuddin pelajar tahun satu program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) turut melahirkan rasa syukur kerana dermasiswa ini amat membantu dirinya sebagai anak sulung yang mempunyai adik-adik yang masih belajar.
Simbolik penyerahan dermasiswa ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat, Tenaga Nasional Berhad, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam satu Majlis Perjumpaan Pelajar Program Dermasiswa My Brighter Future. Hadir sama ke majlis tersebut Pengarah Yayasan Tenaga Nasional, Dato’ Dr. Shaari Md Nor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad.
Mengulas berkaitan dermasiswa ini, Profesor Madya Dr. Afandi turut menzahirkan rasa terima kasih bagi pihak UTHM atas sumbangan yang luar biasa oleh pihak TNB ini demi manfaat pelajar.
“Pihak UTHM juga akan merangka strategi khusus bagi memastikan penerima dermasiswa ini bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, tetapi memacu kebitaraan diri,” katanya.