Bagi melahirkan bakal imam profesional yang dapat mengaplikasi pengetahuan teori dan praktikal dalam menyelesaikan masalah ilmu agama, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memperkenalkan program baharu Diploma Eksekutif Imam Profesional.
Program yang dibangunkan dan ditawarkan oleh Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (IASWJ), UTHM bersama Pusat Pendidikan Berterusan (CEC) UTHM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ini membuat pengambilan pertamanya pada Oktober 2018 baru-baru ini.
Rentetan itu satu majlis pelancaran program ini telah diadakan yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Tn Hj Rofiki Dato’ Kiyai A. Shamsuddin pada hari ini, 29 Oktober. Hadir sama ke majlis tersebut Pegawai-pegawai Kanan UTHM, JAINJ dan MAINJ.
Menuruf Pemangku Pengarah IASWJ, Profesor Dato Dr. Abdul Razak Omar, UTHM merupakan universiti pertama yang menawarkan program ini khusus untuk imam-imam yang dilantik oleh JAINJ di serata Masjid Negeri Johor dengan tujuan untuk menaik taraf jawatan imam masjid selaras dengan pembangunan Islamiah negara.
Melalui program ini, para pelajar dapat mengamalkan ilmu secara profesional, beretika dan insani dalam menangani permasalahan ilmu agama selain dapat berinteraksi secara profesional dengan komuniti sekali gus dapat melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dalam sesebuah organisasi yang diamanahkan.
Sementara itu projek komuniti yang diwajibkan ke atas pelajar pula akan melatih mereka berkomunikasi dengan pelbagai pihak secara berkesan melalui penganjuran program selain berkeupayaan menjalankan aktiviti secara sistematik.
“Setelah tamatnya program ini, para pelajar berkelayakan akan dapat menjalankan tugas sebagai imam kariah sepenuh masa, guru takmir, guru al-Quran dan melaksanakan tugasan fardu Kifayah yang diperlukan oleh masyarakat setempat,” katanya.
Untuk rekod, Diploma Eksekutif Imam Profesional (DPI) akan dijalankan secara sambilan/separuh masa selama minima tiga semester, termasuk semester pendek dengan jumlah 42 kredit.
Setiap Modular akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Agama (SKA) untuk dikreditkan dalam pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu (APEL) dan diiktiraf oleh agensi-agensi kerajaan termasuk MAIJ, JAINJ dan UTHM.
Setiap pelajar diwajibkan menyempurnakan projek berdasarkan topik atau program yang boleh memberikan kebaikan kepada organisasi dan masyarakat bagi menghabiskan kesemua modul untuk memperolehi Diploma. Penilaian yang dibuat adalah secara kerja kursus merangkumi kuliah, tutorial, tugasan, amali, projek serta ujian bertulis dan lisan.
“Pihak universiti berharap dengan penawaran program ini, UTHM dapat membantu melahirkan bakal imam yang holistik serta dapat membimbing komuniti dengan berkesan dalam beribadah dan muamalah harian,” tambah Razak.