DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar selaku Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengingatkan para graduan agar berusaha keras mendapat pekerjaan setelah selesai pengajian.
Titah Baginda, ijazah yang diraih hanyalah permulaan perjalanan kehidupan graduan dan tidak akan bernilai jika mereka gagal mencari kerja.
“Tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Kita mesti bermula dari bawah, mencari pengalaman, meningkatkan kemahiran dan menimba pengetahuan untuk menjadi seorang insan yang berjaya.”
“Jangan terlalu sombong dengan ijazah yang ada, sampai terlalu memilih kerja dan sanggup menganggur serta terus menyusahkan ibu bapa,” titah Baginda sewaktu menyempurnakan sidang pertama istiadat konvokesyen yang berlangsung 21 Oktober lalu.
Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 4048 orang siswazah menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (102), Sarjana (318), Sarjana Muda (2949) dan Diploma (679).
Turut berangkat ke sidang tersebut Pro-Canselor UTHM, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Beberapa anugerah seperti Anugerah DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Canselor, Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajjah Aishah Ghani, Anugerah Hadiah Buku Yayasan UTHM, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Khas Alumni (kategori akademik), Anugerah Kecemerlangan Lembaga Jurutera Malaysia, Anugerah UTHM Holdings, Anugerah Koperasi UTHM Berhad dan Anugerah Prihatin Wakaf, turut diberikan kepada graduan terpilih.
Bagi merai graduan dan memeriahkan lagi Konvokesyen UTHM ke-18 kali ini, pelbagai acara sampingan turut diadakan seperti Perarakan Town & Gown kali ke-10, Festival Konvokesyen 2018, Anugerah Naib Canselor, Majlis Pemakaian Hud dan Majlis Makan Malam Alumni.
Hadir sama ke sidang pertama istiadat Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Osman Sapian,Menjalankan Fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM,Datuk Mat Noor Nawi,Speaker Dewan Undangan Negeri Johor,YB Suhaizan Kayat dan Setiausaha Kerajaan Johor,YB Dato’ Haji Azmi Rohani.
Dengan berlangsungnya istiadat konvokesyen kali ke-18 ini maka jumlah alumni UTHM akan mencatatkan penambahan menjadikan bilangannya sebanyak 38,467 orang.