Batu Pahat – Muhammad Naufal Adam, pelajar Kursus Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih mewakili Malaysia ke Asean Youth Exchange Programme: Chulalongkorn University Youth Lead 2018 melalui jemputan khas dari pakar ASEAN Studies Center, Chulalongkorn University, Bangkok, Thailand.
Program yang ditaja sepenuhnya oleh pihak ASEAN Studies Center, Chulalongkorn University ini melibatkan seramai 110 pelajar yang datang dari seluruh negara ASEAN. Turut mewakili Malaysia, pelajar dari University of Southampton Malaysia Johor, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Nottingham yang dipilih daripada lebih 500 penyertaan dari pelbagai negara ASEAN yang lain.
Program yang berlangsung pada 31 Julai hingga 3 Ogos ini diisi dengan 7th Chula-ASEAN Week and 4th Parliamentary ASEAN Community Forum yang bertemakan “The ASEAN Community in Focus: Toward the ASEAN Summit 2019 in Thailand.”
Forum ini membincangkan topik seperti Changing Economic Political and Social Landscape in ASEAN, ASEAN amid Trade War dan ASEAN Connectivity. Tokoh-tokoh yang terlibat termasuklah H.E Mr. Abhisit Vejjajiva, mantan Perdana Menteri Thailand dan Dr. Nagesh Kumar, Pengarah Pembangunan Sosial, United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP), Bangkok. Kesemua belia dari ASEAN yang terlibat dalam forum ini diberi peluang untuk berbahas di samping berkongsi idea dan mengusul polisi sepanjang seminggu program berlangsung.
Peserta dari Malaysia juga dijemput untuk sesi bersama wakil duta Malaysia ke Thailand yang mana mereka berkesempatan bertukar pendapat dan idea berkenaan isu-isu yang berlaku di ASEAN. Segala usul dan cadangan yang diberikan dipanjangkan kepada pihak kedutaan Malaysia di Thailand untuk semakan semula.
Selain itu, peserta program juga dilatih oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD)untuk merangka polisi-polisi bagi memantapkan lagi ASEAN 2025. Di akhir sesi, setiap wakil negara ASEAN dikehendaki mengusulkan polisi-polisi dan strategi yang dibincangkan dalam mengatasi masalah yang berlaku di negara-negara ASEAN. Setiap cadangan yang diusulkan akan dibukukan dan bakal diterbitkan oleh pihak penganjur.