Seramai 48 pegawai kadet Sispa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah ditauliahkan dengan gelaran Leftenan Muda Pertahanan Awam dalam Majlis Pentauliahan Kor Sispa kali ke-9 tahun 2018 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Sains Islam Malaysia.
Bertemakan “Merakyatkan Pertahanan Awam,” pentauliahan ini melibatkan penyertaan 818 kadet Kor Sispa dari 26 universiti awam dan institusi pengajian tinggi (IPT) swasta. Datin Paduka Ir. Doktor Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi selaku wakil rasmi Menteri Pendidikan Malaysia telah menyempurnakan Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) yang berlangsung pada 12 Ogos baru-baru ini.
Pentauliahan yang bermula pada 8 hingga 12 Ogos lalu diisi dengan acara Perbarisan Tamat Latihan serta penyampaian sijil pentauliahan. UTHM mencatat rekod tersendiri apabila Lt. Muda (PA) Siti Hajar Umairah Zainal Abidin dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, UTHM turut dianugerahkan Pegawai Kadet Sispa Terbaik antara 17 IPT terlibat.
Datin Paduka Ir. Doktor Siti Hamisah Tapsir dalam ucapannya berkata KPM amat mengharapkan keterlibatan mahasiswa dalam program kesukarelawanan agar dapat menjadikan mereka lebih berketerampilan, berkepimpinan serta mempunyai kemahiran komunikasi yang baik sekali gus mampu berdaya saing apabila memasuki alam pekerjaan nanti.
Tambah beliau lagi, penyertaan mahasiswa dalam Kor SISPA ini juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada hubungan baik antara semua IPTA/S dengan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di samping berupaya membantu menangani kes-kes kecemasan mahupun bencana alam.
Sementara itu, YAS TPj. (PA) Tuan Roslan Wahab, Pemangku Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam ucapannya pula berharap agar pegawai muda yang ditauliahkan terus melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dan turut membantu memperkasakan APM berdasarkan ilmu yang telah diperolehi supaya dapat memberikan perkhidmatan kepada orang awam demi kepentingan rakyat, negara dan dunia seluruhnya.
Kontinjen batch keenam Kor Sispa UTHM ini diketuai oleh Lt. Kol Bersekutu (PA), Profesor Madya Dr. Mohd Adib Mohammad Razi bersama Timbalan Ketua Kontinjen, Kapten Bersekutu (PA) Ahmad Khirul Nizam Ali. Persediaan dan usaha keras selama tujuh hari yang diberikan oleh kontijen sebelum pertandingan ini banyak membantu memantapkan lagi penyertaan Kor Sispa UTHM pada tahun ini. Sokongan dan bantuan yang berterusan daripada Pegawai Bersekutu, Pegawai Penyelaras, Pegawai Muda, Jurulatih, Pejabat Negeri Pertahanan Awam Johor dan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Batu Pahat juga menambahkan lagi semangat pasukan untuk terus mengekalkan kecemerlangan.
Lt. Kol Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Ishak Baba yang mewakili PPj. Kehormat (PA) Profesor Dr. Rosman Md. Yusoff, Komandan kor Sispa UTHM turut hadir memeriahkan majlis pentauliahan tersebut. Hadir sama YAS TPJ. (PA) Tuan Roslan Wahab, Pemangku Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Naib Canselor USIM merangkap Komandan, PPj Kehormat (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani, pegawai-pegawai utama APM, Komandan-komandan Kor SISPA serta pegawai-pegawai kehormat dan bersekutu APM setiap institusi pengajian tinggi.