Pengarah Urusan Kumpulan TRC Synergy Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Sufri Haji Mohd Zin telah dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkuat kuasa 16 April 2018 sehingga 15 April 2021. Pelantikan Tan Sri Dato’ Sri Sufri sebagai Pengerusi ini adalah bagi menggantikan Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus Md. Hussin yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 15 April 2018 lalu.
Graduan Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini pernah memegang jawatan sebagai Ahli LPU UTHM (Wakil Swasta) selama tiga penggal bermula 20 Mac 2011 sehingga 30 April 2018. Sepanjang menjadi ahli LPU, anak kelahiran Jeram, Selangor ini merupakan seorang yang sangat aktif menabur bakti terutama melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Perancangan Fizikal serta endowmen UTHM.
Untuk rekod, pelantikan ahli LPU universiti dibuat dua tahun sekali selaras dengan peruntukan Seksyen 17(1) yang melibatkan ahli dari Wakil Swasta, Wakil Masyarakat, Wakil Senat dan Wakil Alumni.
Sementara itu, UTHM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri (Dr.) Ir. Jamilus, Pengerusi KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd. atas khidmat baktinya selama sembilan tahun bersama UTHM, bermula 16 April 2009 sehingga 15 April 2018.
Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly serta seluruh warga UTHM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini.
“Saya berharap pelantikan yang baharu ini diharap mampu menyumbang dan membawa UTHM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa,” katanya.