Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyambut baik peluang kerjasama yang ditawarkan oleh pihak Astro Awani Network Sdn. Bhd. (AWANI) untuk menubuhkan satu skuad media yang dinamakan Awani Rangers UTHM di universiti ini.

Skuad ini terdiri daripada para pelajar UTHM yang mewakili fakulti, kelab/persatuan dan badan beruniform masing-masing yang akan berperanan sebagai agen menyampaikan maklumat melalui penulisan atau rakaman video untuk setiap program atau majlis yang dianjurkan oleh universiti.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani pada 8 Mac lalu sebagai simbolik kerjasama strategik kedua-dua pihak. UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly manakala pihak Astro Awani Network Sdn. Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Sulaiman yang juga merupakan Ketua Pengarang.

Satu siri lawatanAwani Rangers UTHM ke Astro Awani yang bertempat di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur juga turut diadakan pada hari yang sama bertujuan untuk bertemu dan beramah mesra dengan pihak editorial Awani, di samping memberi sedikit pendedahan kepada ahlinya berkaitan dunia kewartawanan dan penyiaran.

Sementara itu, pihak Astro Awani turut mengundang Naib Canselor UTHM untuk ditemubual dalam satu slot wawancara yang akan disiarkan dalam rancangan Agenda Awani.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta Awani Rangers UTHM kerana berani menyahut cabaran, menawarkan diri untuk menyertai pasukan seperti ini, yang saya kira ianya merupakan platform terbaik untuk memberi nilai tambah kepada mereka sebagai pelajar institut pengajian tinggi,” kata Wahid.

Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Astro Awani di atas peluang kerjasama yang diberikan ini dan berharap usaha seumpama ini dapat membantu memberi publisiti dan mempromosikan lagi UTHM secara meluas menerusi  laporan berita yang diterbitkan.

Awani Rangers2Awani Rangers