Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK), Universiti Tun Husein Onn Malaysia (UTHM) terus memainkan peranannya dalam menguruskan hubungan dua hala di antara universiti dengan pihak media bagi mempromosi dan meletakkan UTHM sebagai salah sebuah universiti yang terkemuka.

Bagi merealisasikan tujuan tersebut, PPKK menyambut baik peluang kerjasama yang ditawarkan oleh pihak ASTRO AWANI NETWORK SDN BHD untuk menubuhkan satu skuad media yang dinamakan Awani Rangers UTHM. Skuad ini terdiri daripada para pelajar UTHM yang akan berperanan sebagai agen  menyampaikan maklumat melalui penulisan dan videografi untuk setiap program atau majlis yang dianjurkan universiti.

Untuk permulaan, seramai 33 orang ahli telah dipilih untuk mewakili fakulti, kolej kediaman, kelab/persatuan dan badan beruniform masing-masing bagi melaporkan dan menulis berita untuk diedarkan kepada pihak Astro Awani.

Menurut Pengarah PPKK, Dr. Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi pihak kami telah menganjurkan satu bengkel  yang melibatkan penceramah daripada pihak Astro Awani iaitu Bengkel Awani Rangers UTHM pada 14 Disember baru-baru ini sebagai titik permulaan untuk bertemu dan melatih para peserta yang berminat untuk menjadi pemberita.

Tambahnya lagi, penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman tentang fungsi dan peranan penubuhan Awani Rangers UTHM dalam membantu mempromosikan universiti kepada masyarakat melalui media.

“Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Astro Awani kerana memilih universiti ini untuk menjalinkan kerjasama dalam membantu memberi publisiti dan promosi dengan lebih meluas kepada UTHM.”

“Mengikut perancangan, selepas ini satu perjanjian persefahaman (MoU) akan diadakan antara UTHM dan pihak ASTRO AWANI NETWORK SDN BHD bagi tujuan kerjasama tersebut dan pihak kami berharap usaha seperti ini dapat memberi impak yang positif kepada universiti amnya,” katanya.

IMG_20171214_114421