Mathuumitha a/p Ragawan, 19 pilu menerima Ijazah mendiang ibunya, Parameswari, 54 graduan Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) dengan kepujian yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pada 2 September lalu akibat komplikasi jantung.
Penyerahan ijazah tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly, disaksikan oleh Pengarah Urusan, Akademi Profesional KOSAS, Dato’ Dr. Ir. Haji Abdul Rashid Maidin yang juga Ahli Lembaga Pengarah UTHM semasa berlangsungnya sidang kelima Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia KE-17.
Menurut suami kepada mendiang, Ragawan, 55 dia tidak menyangka isterinya pergi secara tiba-tiba kerana mendiang sebelum ini seorang yang sihat, aktif dan cekap dalam menguruskan rumahtangga dan kerjaya sebagai seorang guru.
“Mendiang yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Tebrau, Johor Bahru seorang yang sangat tegas dan komited dengan kerjayanya dan seingat saya ibu tidak pernah mengambil cuti sakit sepanjang bekerja ,” kata anak sulung Pavitra Sharma,23.
Sementara itu anak keduanya Hari Haran,21 juga tidak dapat menahan sebak kerana sangat merasai kehilangan ibunya yang disifatkan sebagai seorang yang penyayang dan prihatin terhadap kebajikan anak-anak.