Bagi melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi menganjurkan Seminar Pendidikan Johor Berkemajuan (SPJ) 2017 pada 12 dan 13 September baru-baru ini.
Penganjuran seminar kali kedua ini di Dewan Tunku Mahkota Ismail, kampus induk merupakan anjuran bersama antara FPTV dan Kerajaan Negeri Johor dan dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Institut Integriti Kepimpinan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS).
Bertemakan “Johor Berkemahiran, Berkemajuan Ke Arah Transformasi Nasional 2050”, seminar ini selari dengan hasrat Gagasan Johor Berkemajuan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam melaksanakan perancangan dan pembangunan pendidikan yang inklusif pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor telah menyempurnakan upacara perasmian yang diadakan pada 12 September.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly menyokong penuh penganjuran SPJ kerana seminar ini boleh dijadikan platform untuk menghimpunkan para penyelidik dan pendidik dalam bidang pendidikan dan mendapatkan idea baharu ke arah merealisasikan Johor berkemajuan dalam pelbagai bidang termasuklah bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional.
Menurut beliau, UTHM khususnya FPTV dan institusi pendidikan di Johor memainkan peranan penting dalam melahirkan pendidik yang menguasai sepenuhnya bidang pendidikan dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.
Beliau turut menekankan UTHM akan memainkan peranannya dalam merealisasi program-program yang dirancang dalam bajet Negeri Johor iaitu melalui pembiayaan pendidikan, penyelidikan, kepimpinan pelajar, perkembangan pendidikan belia dan bakat muda dalam mengeluarkan tenaga kerja berkemahiran tinggi berlandaskan Revolusi Industri 4.0 supaya dapat menyemai nilai hidup yang positif untuk memacu ke arah gaya hidup masyarakat Johor.
Sementara itu, Pengerusi SPJ 2017, Profesor Madya Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, merangkap Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPTV pula berkata seminar ini adalah platform terbaik untuk menyebarkan hasil-hasil penyelidikan dan berkongsi maklumat saintifik menerusi pembentangan hasil penyelidikan yang khusus dan strategik mengikut tema dan sub-sub tema yang terkandung dalam seminar.
“Seramai 11 orang pengucaptama yang dijemput khas untuk membahaskan tiga tema utama iaitu peranan institusi dalam membentuk pemikiran progresif dan sikap berkemajuan utk pembangunan ekonomi, Kelangsungan Pendidikan Kemahiran dalam Kemajuan Kerjaya Ke arah Transformasi Nasional 2050 dan Peranan Institusi pendidikan dalam melestarikan Swadaya Insan.”
“Lebih 60 kertas seminar hasil daripada penyelidikan dalam kalangan pensyarah, guru-guru dan pelajar-pelajar dari pelbagai institusi seperti UTHM, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan beberapa buah sekolah dari negeri Johor telah dibentangkan dan dikongsikan sepanjang seminar berlangsung,” jelasnya.
Seminar yang berlangsung selama dua hari ini dihadiri lebih 600 peserta terdiri daripadaahli akademik UTHM, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dari Kementerian Pendidikan Malaysia, warga guru sekolah-sekolah di beberapa daerah di Negeri Johor dan mahasiswa/i UTHM.
Hadir sama, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin, Ahli Lembaga Pengarah, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ); Profesor Madya Dr. Azizan Abdullah, Rektor Universiti Teknologi MARA (Cawangan Johor); Profesor Datuk Shahrin Sahib, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM); Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Dr. Shariffah Sebran Jamila Syed Imam, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Kompetensi Pembelajaran dan Pengajaran, Bahagian Pendidikan Guru (BPG), KPM.