Kementerian Pengajian Tinggi melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, telah mensasarkan kesemua Universiti Awam (UA) untuk mempelbagaikan sumber penjanaan bagi menampung sebahagian keperluan universiti masing-masing. Lantaran itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memperkenalkan satu lagi kaedah selain endowmen, iaitu Dana Wakaf Pendidikan UTHM.
Sebagai langkah permulaan, satu majlis Pra Pelancaran dana ini telah diadakan pada 7 Mei baru-baru ini bertempat di Perkarangan Perpustakaan Tunku Tun Aminah. Majlis ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan kepada warga universiti tentang konsep Wakaf Tunai Pendidikan yang sedang dan akan dilaksanakan di UTHM. Wakaf Tunai Pendidikan Universiti merupakan satu program penjanaan dana berlandaskan konsep Wakaf Am melalui sumbangan dana berbentuk tunai dan harta, yang mana pewakaf mewakafkannya dengan niat kerana Allah S.W.T bagi tujuan kemajuan dan kepentingan ilmu sejagat.
Dalam majlis ringkas itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly telah menerima sumbangan wakaf bernilai 50 ribu Ringgit daripada Azemi Mahat Group Bhd. yang diwakili Pengarah Urusan, Dato’ Md Azemi Hj. Mahat. Sementara itu setiap wakil Pusat Tanggungjawab (PTj) yang hadir turut menerima tabung wakaf sebagai langkah permulaan untuk pengumpulan dana mewakili PTj masing-masing.
Untuk rekod, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) pada 26 Januari 2017 yang lalu telah memberi status Nazir Khas kepada UTHM bagi melaksanakan inisiatif wakaf ini. Justeru itu, UTHM menggalas tanggungjawab tersebut dengan menyediakan alternatif dan platform kepada seluruh warganya dan juga masyarakat untuk melakukan ibadah wakaf ini. Dana wakaf yang dikumpul ini akan dilaburkan di dalam instrumen yang patuh syariah. Manakala faedah dan keuntungan hasil daripada pelaburan ini akan diagihkan kepada penerima (Mawquf Alaih) yang layak dalam bentuk biasiswa, bantuan kewangan serta kemudahan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.
Selain sumbangan terus ke tabung- tabung yang disediakan, UTHM juga memperkenalkan skim potongan gaji bulanan staf, pembayaran di kaunter Pejabat Bendahari UTHM serta sumbangan secara atas talian. Maklumat lanjut mengenai Wakaf Pendidikan UTHM ini boleh dicapai melalui laman web wakaf.uthm.edu.my atau dengan menghubungi talian 074537023. Pihak UTHM mengalu-alukan sumbangan semua pihak sama ada penyumbang individu mahupun syarikat dalam menjayakan inisiatif wakaf ini.
Usaha pengumpulan dana wakaf ini bukanlah kerja sehari dua malah akan dilaksanakan secara berterusan oleh pihak universiti sebagai salah satu kebajikan khusus untuk golongan pelajar dan juga masyarakat amnya.